Friday, May 14, 2010

Lihatlah Kepada Yunus


Salam warahmatullah..

Saya suka akan kisah Nabi Yunus a.s. Dia merupakan seorang nabi yang diutuskan kepada kaum di Ninawa. Dia berdakwah dan menyeru agar kaumnya kembali kepada Allah SWT.

Dia diuji oleh Allah SWT dengan kedegilan kaumnya. Sampai satu tahap, dia tidak mampu bersabar lantas meninggalkan tugasannya sebagai Rasul Allah SWT. Dia menuding jari kepada kaumnya yang degil, menyalahkan mereka kerana tidak menerima dakwahnya.
Firman Allah SWT;
"Ketika dia (yakni Nabi Yunus) pergi dalam keadaan yang marah..." [Al-Anbiya: 87]


Allah mereformasikan Rasul-Nya


Manusia, ada kelemahannya. Namun, kelemahan rasul dan nabi, tidak berkait dengan dosa besar. Hal ini kerana, itu akan menjadi kelemahan kepada dakwahnya. Sebab itu Allah SWT menjadikan mereka maksum. Tetapi, Allah mengutuskan rasul dari kalangan manusia bukan dari kalangan malaikat adalah untuk manusia mengambil pengajaran daripada mereka.

Maka, dalam kisah Nabi Yunus a.s, Allah telah mereformasikan diri Rasul-Nya itu. Kesilapan Nabi Yunus a.s meninggalkan dakwahnya dengan terburu-buru, tidak dibiarkan Allah SWT begitu sahaja.

Ketika Nabi Yunus menaiki kapal untuk menjauhi Ninawa, berlaku ribut yang mampu membuatkan kapal tenggelam. Mereka membuat undian, dan Allah menjadikan Nabi Yunus sebagai orang yang dilontarkan ke laut. Sebaik sahaja dilontar, Allah SWT terus menghantar ikan Nun (paus) untuk menelan lelaki itu.



Dia Menuding Pada Dirinya


Bagi sesiapa yang mempelajari subjek Sains, dia akan mengetahui bahwa paus adalah sejenis mamalia. Sesiapa yang ditelan paus, maka dia akan kesesakan nafas di dalmnya. Di dalam perut paus juga ada asid yang 12 kali lebih kuat daripada asid perut manusia. Nabi Yunus, di dalam perut ikan paus yang dahsyat ini.

Adakah dia mengutuk Allah SWT atau nasibnya? Adakah dia memarahi kaumnya atas musibah yang menimpanya? Adakah dia membenci ahli kapal yang melontarnya? Tidak. Dia tidak menuding jari kepada sesiapa. Sebaik sahaja dia berada di dalam kegelapan itu, dia menyedari silapnya dan pantas berdoa;
"Tiada Tuhan melainkan Kau (ya Allah), Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim (yakni zalim terhadap diri sendiri, kerana berputus asa)." [Al-Anbiya': 87].

Ya, dia menuding pada dirinya.



Jawapan Allah


Allah serta-merta mengarahkan ikan paus itu ke laut dan memuntahkan Nabi Yunus a.s, sebelum sempata asid di dalam perut ikan paus itu merosakkan tubuhnya. Sebelum Nabi Yunus tercekik dan sesak nafas di dalamnya. Maka, apakah jawapan Allah SWT?
"Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingati Allah, nescaya dia tetap akan tinggal di dalam perut ikan itu sampai hari berbangkit." [As-Shaffaat:143-144]

Allah melepaskan Nabi Yunus a.s, selepas itu menjayakan pula dakwahnya selepas nabi itu kembali kepada kaumnya, hanya selepas Nabi Yunus a.s mereformasikan dirinya. Hanya selepas nabiNya itu tertingkat bawah tarbiyahNya. Hanya selepas nabi Yunus itu menyedari silapnya dan melakukan penambahbaikkan terhadap dirinya.



Kita Dan Ikan Paus Kita


Kita juga diuji Allah dengan 'ikan paus'. Ikan paus dunia. di dalam perut ikan paus dunia ini wujud asid2 jahiliyah yang menghancurkan peribadi kita, & merosakkan pemikiran anak2 kita. Kita sering menuding jari pada ikan paus kita. Kita kata televisyen perosak. Kita kata zionis merancang itu dan ini.Kita tunjuk pada dia, kita tunjuk pada si dia yang lain. Kita tuding jari pada itu & ini. Menyalahkan segalanya, semuanya, kecuali kita.
Jangan tuding jari pada orang lain. Itu hanya membuatkan ada 4 jari yang menuding kembali pada kita. Ya, kita.
Kita sepatutnya, pertama sekali, mereformasikan diri kita.



Lihatlah Pada Yunus


Allah hanya melepaskan Nabi Yunus a.s dari perut paus setelah dia menyedari silapnya & bertaubat memperbaiki diri. Jika tidak tentu Allah tidak mahu melepaskannya. Kita juga sama. Kita hanya boleh keluar dari perut 'ikan paus' dunia ini hanya apabila kita berjaya dalam muhasabah diri kita, menyedari salah silap kita serta memperbaiki diri kita. Jika tidak, Allah juga tentu tidak mahu membantu kita. Sesungguhnya pertolongan Allah hanya buat mereka yang berusaha.
"Sesungguhnya Allah itu tidak akan mengubahi nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu berusaha terlebih dahulu, mengubah apa yang ada di dalam dirinya." [Ar-Ra'd:11].

Lihatlah pada Yunus dan ambillah pengajaran. Dia dengan ikan pausnya. Manakala kita pula dengan ikan paus kita..

Wallahu 'alam..

*sumber: ANIS Mei 2010-tulisan akhi Hilal Asyraf.

2 comments:

  1. salam warahmatullah...

    Terima kasih atas perkongisan. Betul2..mari ambil pengajaran..

    sentiasa memperbaiki diri dan muhasabah diri sebelum terlena. Terlalu banyak cabaran di sekeliling kita.

    'Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada org yg memperbaiki amalannya (Al-A'raf:56)

    ReplyDelete
  2. wasalam warahmatullah kak nur kasih..

    lama x dgr khabar kak.. :)
    moga kesibukan & kesempitan ruang waktu tak akan menghambarkan ukhuwah kita ya.. :)

    benar. ambillah pengajaran dari ceritera umat terdahulu sbg pedoman & pengajaran buat diri. Moga kita akan selamat dari ditelan 'ikan paus' & mati dimamah asid..

    syukran kak.. ;p

    ReplyDelete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."