Salam warahmatullah.
Pertamanya, entri ini kutulis sbg peringatan buat diriku khususnya. Keduanya baru kutujukan kepada kalian pembaca yang budiman. Demi masa, sungguh manusia itu berada dalam kerugian melainkan mereka yang berpesan-pesan dgn kebenaran & kesabaran. Moga beroleh manfaat yang besar buatmu.
Entri ini sepatutnya ditulis sebelum pulang ke negeri 9 minggu lepas, namun tidak sempat. Namun, Alhamdulillah, dalam kesemputan nafas mengejar masa yang sempit, akhirnya dapat jua ku berkongsi di sini.
Seperti yang diluahkan seseorang kepadaku;Aku berkira-kira, sepanjang 3 minggu berada di kampus uni, rasanya hanya beberapa kerat hari saja aku lunch dgn nasi campur. Selebihnya, tak, paling tepat, majoritinya menu kegemaran aku adalah soto ayam kafe bakti.
Tiap-tiap hari makan pun tak rasa jemu. Walau kedudukan bilik aku agak jauh dari kafe tersebut, aku sanggup. Redah arus jalan raya, mendaki bukit demi semangkuk soto ayam. :) Sampaikan makcik kaunter tu pun dah kenal dgn muka aku. Peliknya, aku tak rasa jemu, walhal bertambah suka dgn menu tersebut sampaikan rasa tak lalu nak makan nasi campur.
Paling kelakar, kawan aku pernah mengusik aku sebagai penagih. Ya, penagih soto ayam. Bukankah tengahari sepatutnya makan nasi? Mana kenyang makan soto?
Walau normalnya memang patut makan nasi, tapi aku tetap memilih soto sbg menu lunch. Pedulikan org lain, yang penting aku rasa seronok bila mangkuk licin daripada membazir.
Dalam pada kulihat kuah sup yang sudah kering, hatiku sempat bermonolog. Aku selalu menunaikan kehendak selera makanku. Bagaimana dengan santapan jiwaku?Apakah aku sudah menunaikan kehendak jiwaku yang dahagakan keseronokan ibadah yang boleh membuatkan aku jadi penagih? Ibadah yang apabila aku tinggalkan akan membuahkan rasa rindu & rasa tidak tenang dalam jiwaku. Aku merasakan ada yang tidak cukup dengan rutin seharianku. Masih tidak cukup hanya dengan solat 5 waktu, tadarus & tadabbur Quran Tafsirku. Aku merasa masih ada yang tidak sempurna. Sama rasanya seperti sehari tanpa soto ayam kegemaranku.
Lama masanya aku memuhasabahkan diri untuk mencari sebuah jawapan bagi semua persoalan jiwaku.
Dan akhirnya aku tahu jawapannya.
Jiwaku menginginkan sesuatu. Ya, sesuatu. Aku mahu menjadi bukan sekadar muslimah. Tetapi mukminah sejati. Kerapku baca dalam tafsir, seruan Allah pada manusia. Kebiasaannya Dia akan menyeru;
"Wahai manusia yang beriman!, wahai orang2 yang beriman!, wanita yang beriman, lelaki yang beriman." Aku bukan mahu sekadar Islam pada nama. Aku mahu benar2 menjadi Islam. Aku benar2 mahu merasai kemanisan iman & cinta Ilahi kerana hanya dgn cintaNya dpt kutepis cinta semu dari dunia yang fana ini. Aku mahu dekat padaNya. Aku mahu melihat wajahNya di akhirat kelak. Aku mahu jadi hambaNya yang dicintaiNya. Lantas, aku merasakan, ibadahku masih belum cukup untukku merealisasikan azam & harapanku. Ya, aku perlu melipatgandakan amalanku. Amalan yang boleh meraih redha, rahmat & cintaNya.
Kuselak helaian sejarah kekuatan para mujahid & serikandi agung Islam. Ku untai rahsia kekuatan iman & pegangan mereka. Dan akhirnya kutemui jawapannya.
Baginda sultan Al-fateh dan tentera-tentera baginda ingin menunaikan solat Jumaat kali pertama di Konstantinople selepas menumpaskan Angkatan tentera Byzantine. Timbul pertanyaan di kalangan mereka siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.
Baginda kemudiannya memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan:
"Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".
Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Pertanyaan seterusnya,
"Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".
Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertitah,
"Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".
Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri!
Subhanallah! Betapa hebatnya penangan Tahajud! Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh.Sememangnya, ada satu waktu yang amat ajaib dalam kehidupan kita; waktu pilihan Tuhan untuk bertemu dengan hamba-hambaNya. Waktu itu, sekiranya ada manusia yang bangun, membersihkan diri & sujud kepada Maha Pencipta, sesungguhnya, martabatnya telah diangkat lebih tinggi berbanding manusia lain.Firman Allah;
"Dan dari sebahagian malam, hendaklah engkau bangun (tahajud), sebagai amalan tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu mengangkat (darjatmu) ke tempat yang terpuji." [Al-Isra': 79].
Misalnya, dalam sebuah keluarga, ibubapa akan menyayangi anak-anak mereka secara adil. Tetapi, antara anak yang degil, pemalas, suka meminta-minta dengan anak yang baik & menyenangkan hati ibubapanya, manakah yang meraih tempat lebih dekat di hati ibubapa mereka? Percayalah, anak yang lebih ringan tulang & suka berbakti dengan ikhlas akan lebih disayangi berbanding anak-anak yang lain.Begitulah jua hubungan antara manusia & Penciptanya. Allah mensyariatkan hal yang wajib bagi hambaNya utk dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Namun, Allah juga membuka seluas-luasnya peluang bagi hamba-hambaNya yang memperbanyakkan amalan sunat sebagai jalan untuk mendekatkan diri padaNya.
Ketahuilah.. kehidupan ini panjang jalannya, maka haruslah kita banyak berjalan malam untuk cepat sampai ke penghujungnya. Orang yang tidak meninggalkan ibadah yang wajib & memperbanyakkan ibadah sunat pasti duduknya takkan sama dengan orang lain di sisi Allah SWT.
Kelebihannya akan menyerlah keberkatan dalam hidup, sifat mahmudah menghiasi dirinya & kata-katanya senang sampai ke dalam hati manusia yang mendengarnya; sebagaimana terbukti bagi para nabi, para sahabat, para solehin, para tabiin & seterusnya orang-orang beriman pada zaman ini.
Saat seorang hamba pergi pada Penciptanya dengan susah payah melawan rasa kantuk & letih, sebenarnya dia sedang membuka jendela cintaNya. Waktu Tahajud adalah 1 per 3 malam yang menyaksikan para insan di alam mimpi. Tahajud adalah waktu khusus bagi seorang hamba untuk bertemu & berbicara dengan Tuhannya dengan ketenangan & kedamaian. Simpanlah semua masalah, sakit hati, sayu, sedih & resah di siang hati & hamparkan semuanya di hadapan Allah dalam tahajudmu. Itulah yang lebih baik bagimu dari mengadu pada manusia yang tidak dapat berbuat apa-apa untukmu.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
"Setiap 2 sepertiga malam terakhir, Allah turun ke langit dunia sambil berseru, "Hambaku yang malam ini menjauhkan rusuknya dari tempat tidur kerana mendirikan solat tahajud, Aku berasa malu padanya sekiranya Aku tidak mengampuni dosanya & mengabulkan semua doanya serta memberikan apa yang mereka minta. Sungguh, solat sunat yang utama selepas solat fardu adalah tahajud."
Tahajud malam. Satu perkara yang mudah diperkatakan tapi bukan mudah untuk melaksanakan bagi kita yang belum benar-benar sebati utk menikmati kurniaan besar yang Allah datangkan. Namun, jangan mudah patah semangat, tetaplah terus berusaha untuk mencapainya.
Jangan mudah berputus asa untuk meraih cintaNya. Kuatkan hati, ingatkan diri, hanya redha Allah yang sangat diharapkan untuk melayakkan kita ke syurga & bertemu dgnNya.
Harus terus cuba, cuba & cuba! Tak ada bayi yang lahir terus pandai berjalan melainkan melalui fasa meniarap, merangkak, bertatih & barulah berjalan perlahan. Setapak demi setapak. Selangkah demi selangkah. Begitu jugalah kisahnya dengan meraih keredhaan Allah.
Tak senang nak bangun malam & tinggalkan tempat tidur, bantal yang empuk, toto yang panas menyamankan badan yang kedinginan. Tetapi ingatlah, syurga Allah itu mahal harganya..
Ku akhiri catatan ini dengan Firman Allah SWT;
"Mereka itu orang-orang yang dipimpin oleh Tuhan, maka dgn pimpinan mereka itulah yang hendaknya engkau turut." [Al-An'am: 90].
Susurilah perjalanan para solehin untuk sama-sama berada dalam saf orang-orang yang mendapat rahmat & cinta dariNya.
Ya Allah, mudahkanlah urusanku & jadikanlah aku penagih tahajud cintaMu..
p/s: Tahajud adalah ibadah tambahan bagi mereka yang ingin mendekatkan lagi diri dgn Allah. Namun, jangan pula sibuk mengejar Tahajud dlm pada solat fardu masih belum sempurna. Sebaiknya, mantapkan dahulu ibadah wajib seperti solat fardu, tadarus & tadabbur Al-Quran serta zikrullah. InsyaAllah, dgn keimanan yg mantap, pastinya kemanisan Tajahud meraih cintaNya akan lebih sempurna. Allahu 'alam..