Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Friday, March 7, 2014

Cahaya Di Atas Cahaya.

Seindah-indah musim bunga yang mewangi,
Tetap akan berakhir bila terganti musim luruh dan dingin,
Tiada yang kekal selamanya.
Begitulah kita manusia,
Takkan selamanya berulit dengan fatamorgana dunia.
Sampai masanya akan tetap pulang menemuiNya.

Bagaimana persiapan bekalan kita sahabat?

***

Bismillah.

Tersentuh membaca perkongsian seseorang baru-baru ini. Apabila teman sewaktu beliau menyambung pengajian di luar negara, yang sangat terkenal dengan tabiat liar, buruk, kasanova, berzina, minum, clubbing dan lain-lain maksiat, akhirnya berhijrah menjadi insan yang sangat dekat dengan Allah. Subhanallah.

Begitulah hati kita manusia, yang selamanya dimiliki oleh Allah. Dipegang olehNya. Seringkali berbolak-balik seiring iman yang naik & turun.

Setiap insan di muka bumi ini tidak akan pernah terlepas daripada melakukan dosa. Tiada siapa boleh menjamin  bahawa diri mereka telah benar-benar suci & diredhai olehNya, terjamin tempat di dalam syurga. 

Kita bukan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang mengorbankan harta, masa, tenaga, hatta nyawa di jalan Allah demi menegakkan Islam di muka bumi, hingga menemui syahid & dijamin Allah masuk ke syurga.

Kita hanyalah manusia akhir zaman yang solatnya sering terlewat, al-Quran jarang dibaca, aurat tidak ditutup, jarang ke majlis ilmu, sunnah baginda terus terlupa. Allahurobbi.. jauhnya kita dalam mempraktikkan agama dalam kehidupan.

Biarpun begitu... itu bukanlah alasan untuk kita tidak percaya bahawa Allah itu tidak akan Mengampuni kita, bahawa kita tiada peluang langsung untuk bernafas dalam harum wanginya syurga.

Percaya atau tidak..
Kita tidak akan menemui kebahagiaan di dalam kemaksiatan yang kita lakukan. Biarpun mungkin kita rasa seronok dengannya pada awalan.. namun, ia tidak kekal. Rasa seronok itu akan hilang, tetapi dosa yang dilakukan tetap kekal dalam catatan amal, melainkan dipadam dengan taubatan Nasuha.

Begitupun perihalnya dengan kebaikan. Memang kita akan merasa penat, malas, leceh apabila melakukan kebaikan. Malahan ada ketikanya kita perlu memaksa diri untuk tetap istiqomah melakukannya. 

Siapa kata bangun di tengah-tengah kedinginan malam itu mudah, sedangkan tidur dibuai mimpi itu lebih indah.
Siapa kata menutup aurat dengan sempurna itu mudah, sedangkan mempamerkan kecantikan sewenang-wenangnya itu terasa lebih memancing pujian. 

Tak mengapa, teruskanlah perlahan-lahan, insyaAllah keindahan, ketenangan & kemanisan itu akan datang hinggakan kita merasa tidak perlu sesiapa lagi melainkan hanya Dia.
 
Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis.

Firman Allah SWT, maksudnya:
"...Nurun 'ala nuur (cahaya di atas cahaya), Allah Memberi petunjuk kepada cahayaNya bagi orang-orang yang Dia Kehendaki, & Allah Membuat Perumpamaan-perumpamaan bagi manusia. & Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [24:35]
Saat Allah panggil kita untuk kembali kepadaNya... & kita menyambut 'huluran' HidayahNya.. percayalah... saat itulah, saat yang paling bahagia & bermakna di dunia ini, kepada kita sebagai hambaNya. Yang sukar untuk diungkap dengan apa perkataan pun. Melainkan dengan deraian air mata yang tidak putus-putus sambil mengungkapkan; "Alhamdulillah.. wa astaghfirullah.. terimalah aku ya Allah, redhakanlah aku ya Allah.. sebagai hambaMu.."

InsyaAllah, waktu itu, kita tidak lagi akan meletakkan dunia ini di hati, melainkan cuma menjadikannya ladang untuk menuai bekalan di akhirat nanti, sambil memendam rindu untuk pulang bertemu Allah, berkumpul dengan Rasulullah, & bersenang-senang di dalam syurga..

Mari kembali kepada Allah. Mari kembali kepada Allah.
Selagi ada nafas, selagi itu ada peluang untuk bertaubat. 

Yakin.
Yakin Allah akan ampunkan semua dosa-dosa kita.
Yakin.
Yakin Allah akan bersihkan segala noda-noda yang menebal pada diri kita.
Yakin.
Yakin Allah akan Memberikan kekuatan & pertolongan kepada kita.
Untuk menempuhi semua kepedihan, kesakitan, air mata sepanjang proses mujahadah ini.

Jangan lihat betapa kotor & hinanya kita yang melakukan dosa, tapi lihatlah kepada Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengasihani, yang Mengampunkan segala dosa..

Jangan lihat betapa tak layaknya kita mendapatkan keampunan Allah, tapi lihatlah kepada betapa besarnya rahmat & keampunanNya kepada semua hambaNya. 

Ramai orang telah menemui kebahagiaan, kejayaan & ketenangan dengan menumpukan kehidupannya semata-mata mahu mencari keredhaan Allah. Bagaimana pula dengan kita, saudara-saudariku..?

Indahnya hidup dalam ketaatan kepada Allah... Bertemu kebahagiaan & ketenangan hakiki... Juga bertemu dengan cinta yang abadi..

Inilah jalan yang dilalui oleh Nabi SAW, para sahabat, para sobiriin, para syahidiin.. 

& mereka ini semuanya sedang tersenyum bahagia di dalam syurga setelah berpenat lelah melakukan ketaatan & pengorbanan sewaktu di atas dunia.

Ingatkanlah semula diri kita. 
Jalan yang payah, beronak duri inilah jalan yang dilalui para penghuni syurga.

Tanya diri kita, jalan mana yang sedang kita lalui.
Mendekati Allahkah? Atau semakin menjauhiNya?

Satu peringatan untuk yang membaca, sejuta ingatan untuk saya yang menulis. Moga Allah ampuni segala dosa.

Wallahu a'lam.
Astaghfirullah.

----
P/S: Salam sayyidul ayyam. Mari perbanyakkan selawat ke atas Nabi & jangan lupa juga membaca surah al-Kahf. 

Notakaki:  

Kenapa kita selalu susah hati? 
Kerana kita tidak yakin kepada Allah.  
Kerana kita kurang tawakal kepadaNya.