Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Monday, January 13, 2014

Review : Cinta Suci Zahrana.

 
Serahkan urusan cinta & hidup, 
hanya pada Allah.

***

Bismillah,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,
Selawat & salam buat junjungan Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam.

Alhamdulillah, selesai sudah final exam & tesis. Ya Allah, rasa lega sangat apabila selamat menghantar tesis kepada koordinator program. Alhamdulillah, kertas terakhir juga berjaya diselesaikan petang semalam. Bersyukur kerana semuanya berakhir dengan lancar. Biarpun hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana kritisnya waktu yang ditempuh. Kadangkala ketika sedang menaip tesis, airmata tiba-tiba sahaja mengalir. Kadang sampai teresak-esak. Emosi sangat fragile. Kadang apabila orang-orang tersayang tersalah cakap sedikit pun boleh terbawa-bawa menjadi mimpi sedih. Astaghfirullah.

Biarpun begitu, Alhamdulillah, Allah permudahkan semua urusan. Saya hampir menyangka tidak mampu menyiapkan tulisan sehingga hari akhir deadline. Tetapi ternyata Allah permudahkan segalanya.

Maka, kiranya ada di antara ahli keluarga mahupun pasangan kalian yang kini dalam proses menulis tesis, saya meminta jasa baik kalian untuk memberi sokongan kepada fizikal & jiwanya. Menulis tesis bukanlah mudah. Ianya memerlukan kehadiran jasad, jiwa & fikiran. Sepenuhnya. Terutamanya jika penulis tesis itu adalah wanita. :) Mereka lebih-lebih lagi emosi. Silalah fahami keadaan mereka.  


Sementara menunggu adinda saya menyiapkan urusannya, (insyaAllah kami merancang mahu menghabiskan cuti ini bersama keluarga tercinta). Jadi saya berniat hendak rehat-rehatkan kepala selepas menempuhi saat-saat yang genting & stress. Tercari-cari movie yang sarat pengisian untuk mengisi masa. Agar masa tidaklah terbuang begitu sahaja sepanjang sejam dua penontonan. Lalu, Allah gerakkan hati untuk menonton filem Cinta Suci Zahrana. Alhamdulillah 'ala kulli hal. Subhanallah, filem ini ternyata sangat sarat dengan ilmu & teladan, sangat membangunkan jiwa.
 




Bagi yang belum menonton filem ini, insyaAllah saya ceritakan sedikit sinopsis berkaitan isi ceritanya.

Filem ini berkisar tentang Zahrana, umurnya sudah mencecah 34 tahun, bekerjaya & berkelayakan akademik tinggi. Biarpun umurnya sudahpun 30-an, dia ternyata masih cantik & menarik. Banyak pinangan ditolak kerana Zahrana tidak meredhai agama orang yang melamarnya itu. Hinggakan ayahandanya merasa kecil hati dengannya. Kesihatan ayahnya mulai terganggu. Ayahbonda mengharapkan Zahrana segera menamatkan zaman gadisnya.

Pencarian demi pencarian, akhirnya dia meminta tolong isteri kepada mudir madrasah untuk mencarikan pasangan untuknya. Biarpun ternyata kelayakan akademik calon itu sangat berbeza & lelaki itu hanya sekadar penjual keropok, namun, Zahrana sudah redha, asalkan dia tenang dengan agama & akhlak calon itu. Alhamdulillah, apabila Zahrana diberikan peluang untuk brtemu sendiri dengan calon tersebut, ternyata hatinya berasa tenang & gembira. InsyaAllah, itu dia jodoh yang dia nantikan selama ini.

Apapun, manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah-lah yang menentukan. Pada saat menjelang pernikahan mereka berdua, Rahmat (bakal suaminya) terjebak dalam kemalangan & meninggal dunia. Begitupun, ayahnya juga meninggal pada malam yang sama. Zahrana hilang bakal suami & ayahnya sekaligus.

Diringkaskan, setahun pun berlalu, penantiannya berakhir apabila ibu kepada pelajarnya meminangnya. Zahrana akhirnya redha, bahawa jodohnya dengan Hassan, anak didiknya yang jauh muda daripadanya.

***

Alhamdulillah. Saya suka filem ini. Banyak adegan yang memberikan kesan kepada hati saya. Banyak sangat dialog-dialog yang heart-warming, mendekatkan kita kepada Allah. Subhanallah.

Adegan ketika Zahrana meminta ayahnya mencarikan calon untuknya. Mengatakan dia redha akan siapapun pilihan ayahandanya. Waktu ini saya juga tersentuh. Saya seakan memahami perasaan Zahrana yang mahukan calon suami yang baik akhlaknya, dalam masa yang sama, dia mengerti bahawa ayahnya seakan sudah tidak mampu menunggu lama atas kesihatannya yang kian merosot.

Saya juga sangat suka adegan di mana Zahrana bertemu dengan Rahmat. Sebelum itu Zahrana menyangka ada tukang keropok lain adalah Rahmat. Hatinya rasa agak kecewa bila melihat umurnya yang agak lewat. Rupanya Rahmat yang dimaksudkan adalah oang lain. Saya sendiri suka dengan watak lelaki itu. Setiap perbuatannya dimulakan dengan nama Allah. MasyaAllah, sangat heart-warming. Tidak hairanlah Zahrana jatuh hati kepadanya walaupun kali pertama bertemu. Biarpun Rahmat hanyalah tukang jual keropok. Namun, akhlaknya itu lebih mahal daripada segalanya.

Adegan lain ketika sahabat baik Zahrana menasihatinya ketika melawat Zahrana di hospital yang shocked menerima berita kematian Rahmat. Kala Zahrana hiba mengadu nasibnya yang cemburu Lina datang ditemani suami & punya anak-anak. Sedangkan dia suami pun belum dimiliki.

Lina menasihatinya;

"Lihat ibumu Zahrana. Dia tidak tergoyah. Padahal dia menanggung ujian yang lebih berat lagi (kehilangan suami yang dicintai). Tetapi dia tiada berkeluh kesah, kerana apa? Bukan kerana dia pandai, tetapi kerana ibumu itu orang bertaqwa."

MasyaAllah. Dialog ini sangat mengesankan.

Adegan lain ialah apabila Zahrana berbual dengan Hassan menjelang saat pernikahan mereka melalui telefon. Zahrana sangat comel. Permintaannya juga comel. Hassan juga lelaki yang baik. Pemalu namun jujur & bersungguh. Subhanallah. 

Usai bicara itu, Zahrana sujud syukur kepada Allah. Saya tak sedar air mata saya pun menitis semasa melihat adegan ini. MasyaAllah... betapa besarnya kekuasaan Allah. Mentakdirkan sesuatu di luar fikiran & rancangan kita manusia biasa. 

Ibu Zahrana datang & memeluknya. Tangisan terlepas lagi di bahu ibu. Akhirnya penantian Zahrana bakal berakhir. 

"Sebutlah nama Allah dalam keadaan senang mahupun susah..." pesan ibunda dalam dakapan.

Zahrana menyahut dengan takbir "Allahuakbar" sebanyak 3 kali. Lalu, dibalas oleh ibunda, "Wallilah ilham."

Adegan ini juara di dalam hati saya.
Berderai-derai air mata membasahi pipi.

Terasa Allah sangat dekat di dalam hati.
Sungguh, kalau Allah berkehendak, apapun bisa terjadi. 

Ya Allah, waktu melihat Zahrana memeluk ibunya, saya turut rasa rindu sangat dengan ibu di rumah. Teringin mahu memeluknya juga. Rindukan kehangatan pelukan ibu.

"Sebutlah nama Allah dalam keadaan senang mahupun susah..." saya akan ingat pesanan ini. InsyaAllah.

***

Alhamdulillah 'ala kulli hal, insyaAllah, di sini saya kongsikan nota kecil untuk ingatan diri sendiri, tentang pengisian yang saya dapati daripada filem Cinta Suci Zahrana (adaptasi daripada tulisan Ustaz Habiburrahman el-shirazy). Semoga memberi manfaat kepada kalian yang membaca tulisan ini juga insyaAllah.

1) Keredhaan Allah, bergantung kepada keredhaan ibu bapa. Anak yang taat & baik kepada ibubapanya, insyaAllah akan bertemu dengan jodoh yang juga taat kepada ibubapanya. Anak yang baik, pasti akan didoakan yang baik-baik oleh kedua orang tuanya. & doa ibu itu adalah makbul.

2) Ingatlah Allah di waktu senang & susah, sedih & gembira, lapang & sempit, insyaAllah, Allah akan mempermudahi semua urusan & memberikan jalan keluar di waktu kebuntuan & seakan hampir putus harapan.

3) Sentiasa bersangka baik kepada Allah, Allah itu menurut sangkaan hambaNya. Takdir Allah sentiasa baik pada pandangan mereka yang beriman. Jika diberikan nikmat mereka bersyukur. Jika diberikan musibah mereka bersabar. Kedua-duanya juga mendapatkan pahala.

4) Jika bukan jodoh, telah membuat persiapan bagaimana rapi sekalipun, tetap tidak akan kesampaian, biarpun kita telah sangat suka kepadanya. Tetapi jika sudah jodoh, Allah akan mempermudahi semua jalan biarpun tiada apapun dipersiapkan, biarpun kita tidak menyangka bahawa dialah orangnya.

5) Jangan tergesa dalam memilih jodoh, pilihlah yang diredhai agama & akhlaknya. Jangan kerana takut digelar anak dara tua atau bujang terlajak, kita culas dalam memilih pasangan. Memilih pasangan bermakna memilih agama. Dia akan menyempurnakan sebahagian daripada agama kita. InsyaAllah.

6) Bila Allah Mengambil sesuatu daripada kita, yakinlah bahawa Allah akan Menggantikannya dengan hal yang lebih baik lagi. Bahkan semua yang kita miliki adalah milik Allah yang abadi. Tiada apa milik kita, selalu pasakkan ini di dalam hati.

7) Di antara tanda dia adalah pasangan yang baik (insyaAllah), bila kita melihatnya hati akan bertambah tenang, bicara & akhlaknya membuatkan kita teringat kepada Allah. Pilihlah kerana agama, nescaya kita akan bahagia.

8) Kita merancang, Allah juga punya perancanganNya. Jika kita merancang dengan cita-cita, Allah Merancang untuk kita dengan cinta kepada hamba-hambaNya. Selalu yakin, perancangan & ketentuan Allah itulah yang terbaik buat hambaNya.

9) Setiap yang hidup pasti akan merasakan mati. Satu saat pun tiada dapat ditunda. Segala apa yang dirancang untuk dunia pasti akan punah, yang tinggal hanyalah taqwa yang akan dibawa bertemu Allah di akhirat.

10) Innamal a'malu binniat. Selalu refresh niat. Lillahi ta'ala. Aku berbuat ini demi Allah, untuk mengharapkan redhaNya semata-mata. Semuanya akan punah, kecuali ikhla
s. 

***

Kepada yang masih belum menonton, disarankan melihat filem ini. InsyaAllah, memberi manfaat. Filem ini bukan sekadar bicara tentang cinta, tapi membuatkan kita sedar akan kebesaran cinta Dia yang Memiliki semua cinta. Allahuakbar. Sungguh, takdir Allah itu sentiasa indah, membuatkan hamba selalu merasa takjub & kerdil.

Oh ya, jangan lupa sediakan tisu di sebelah. Kalian akan memerlukannya. :')

InsyaAllah, boleh menontonnya di sini : Cinta Suci Zahrana (2012)

Selamat menonton & beroleh ibrah.
Moga menjadi asbab kepada kebaikan. InsyaAllah.

Sekadar ini dulu.
Wallahu a'lam.
Astaghfirullah.