Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Friday, July 19, 2013

Ramadan, Tetamu Yang Dimuliakan.


Bismillah,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat junjungan mulia; Nabi Muhammad solallahu 'alaihi wasallam..

***

Saat ini... cuba anda bayangkan seseorang yang sangat anda rindu, seseorang yang sangat anda ingin bertemu, hendak sangat-sangat menatap wajahnya, bersama-sama dengannya, menikmati setiap detik dengannya.

Seseorang yang anda selalu mengadu kepada Allah, 
"Ya Allah.. aku merinduinya. Rahmatilah dia ya Allah. Izinkanlah aku bertemu dengannya."

Setelah lama menanggung kerinduan yang mendalam itu, sampaikan sudah tidak tertanggung oleh kalbu...

Diizinkan Allah.. suatu saat, waktu anda membuka pintu rumah anda, yang anda lihat adalah wajah yang sangat anda rindui itu sedang tersenyum memandang wajah anda dengan pakaian yang segak, dengan wangian yang harum membawa bungkusan hadiah yang berbalut cantik serta pelbagai lagi buah tangan lain yang memang khusus, istimewa untuk anda.

Subhanallah.....
Agak-agaknya.... apa yang anda rasa...?

:)

***

Tetamu yang dicintai, dikasihi, dirindui & selalu diingati. Yang selalu kita impi ingin bertemu dengannya, yang selalu kita doakan untuk bersama dengannya.

Apabila dia tiba-tiba Allah izinkan terpacul dengan wajah kita.... Saya pasti, kita akan berusaha untuk meraikan dia dengan sebaik mungkin.

Kita hidangkan apa yang menjadi kesukaannya.
Kita masak apa yang menjadi kegemarannya.
Kita hamparkan segala macam yang terbaik untuk kelengkapannya.

Apa yang ada, disediakan dengan cara yang istimewa untuk dipersembahkan. Apa yang tiada, sedaya upaya cuba disediakan.. Sampai begitu sekali kita melayani tetamu yang sungguh istimewa ini.

Kalau boleh, kita bersungguh-sungguh mahu dia singgah lebih lama, kita mahu lebih lama bersama-sama dengannya.

***

Ramadhan.

Seringkali kita tersilap, menganggap diri kita sebagai tetamu Ramadhan.

Hakikatnya, Ramadhan itulah tetamu kepada kita.

Kiranya benarlah Ramadhan itu tetamu yang datang dari jauh, yang benar-benar kita cintai, rindui & amat kepingin sekali bertemu serta bersama dengannya... maka, besarlah usaha kita untuk mengadakan apa sahaja yang menjadi kecintaan kepadanya...

Ramadhan mencintai al-Quran.
Ramadhan menyukai sedekah & infaq.
Ramadhan mengasihi Qiam di sepertiga malam.

Mari kita duduk seketika.
Bertanya kepada iman...

Apakah benar kita telah melayani 'tetamu' yang datang dari kejauhan ini dengan penuh kemuliaan & kesungguhan...?


***

Sungguh ramai orang yang memasuki Ramadhan dengan mempersiapkan diri mereka dengan ilmu, persiapan rohani & persiapan jasmani untuk melakukan ibadah & ketaatan kepada Allah.

Mereka berlumba-lumba meraih keampunan, rahmat & ganjaran daripada Allah.

Subhanallah....
Indah & istimewanya manusia-manusia ini di mata Allah..

Tanyalah kepada diri kita...
Kita asyik lihat orang sahaja yang bersungguh-sungguh mahu menjadi baik... kita tidak mahukah menjadi orang yang baik-baik? 

Kita tidak mahukah menjadi orang yang dicintai?
Dicintai oleh Allah...
Dicintai oleh Rasulullah...
Dicintai oleh orang-orang yang mencintai Allah & Rasulullah? 


*** 

Subhanallah...
Betapa segaknya Ramadhan.
Membawa ganjaran & hadiah daripada Tuhan.

Amalan sunat yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan, dibalas ganjaran seolah-olah melakukan amalan wajib ketika di bulan yang lain. Manakala melakukan amalan wajib di bulan Ramadhan, dibalas ganjaran seolah-olah melakukan 70 amalan wajib ketika di bulan yang lain.

Subhanallah...

Ruginya kita..
Andai terlepas dari meraih keistimewaan yang ditawarkan Allah di dalam kemuliaan Ramadhan ini...

***

Rasulullah SAW pernah berkata; "sesiapa yang ibadah ramadhannya tahun ini sama dengan tahun lepas maka dia termasuk dalam golongan yang rugi, sesiapa yang ibadah ramadhannya tahun ini lebih teruk daripada tahun lepas, dia termasuk dalam golongan yang celaka & barangsiapa yang ramadhannya tahun ini lebih baik daripada ramadhannya yang lepas, dialah orang yang beruntung."

Pandanglah Ramadhan sebagai pemberian istimewa Allah kepada para hambaNya. Dan tentunya kita termasuk dalam golongan yang menerima pemberian istimewa itu.

MasyaAllah...
Manisnya Allah.. beri kita kesempatan untuk bertemu & bersama dengan Ramadhan.

Betapa ramai yang sungguh merindui, mencintai & bersungguh-sungguh berdoa untuk bertemu dengan Ramadan, namun Allah mengizinkan kematian bertemu dengannya dahulu.

Kita ini....
Allah beri kesempatan bertemu & merasai kenikmatan Ramadhan. 
Mari kita ambil kesempatan ini, mari bersyukur dengan sedalam-dalamnya kepada Allah...

"Hamba bersyukur ya Allah.. Engkau makbulkan doa hamba, beri keizinan buat hambaMu ini bertemu dengan Ramadhan yang telah lama sangat ingin berjumpa. Berilah kekuatan kepada hamba untuk melakukan ibadah & ketaatan kepadaMu ya Robbi.. moga hamba termasuk dalam golongan hambaMu yang beruntung & keluar dari ramadhan seperti bayi yang baru dilahirkan. Suci atas semua dosa telahpun diampunkan.."

***

Ramadhan masih berbaki lebih kurang 20 hari.
Belum terlambat untuk memuliakan 'tetamu' ini.

Mari.

:)

Wallahu a'lam.

----
Notahati:



Sayu hati meneliti & meniti bait-bait lagu ini. Seakan benar terasa segala rindu & cinta itu. Terasa bersyukur benar dipertemukan denganmu. Terasa rugi benar andai mensia-siakanmu.

Ya Allah. Redhakanlah.. 

Saya berpesan, khasnya untuk diri ini. 

 

No comments:

Post a Comment

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."