Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Sunday, August 26, 2012

Merindui Kekasih Yang Telah Pergi.



Bismillahirrohmanirrohiim..

Alhamdulillah. 
Untuk setiap nafas yang dihela serta peluang untuk bertaubat kepada pemilik cinta yang dibuka seluasnya.


*******************************


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Inginku nukilkan sesuatu.
Tinta yang ditaip dari hati yang semakin merinduimu...
Yang begitu merinduimu, 
Wahai sang kekasih yang telah pergi...

Engkau yang sangat kacak, pemurah, baik hati & bersopan santun pada pandanganku itu,
Telah pun semakin samar-samar di dalam pandangan.

Ku masih ingat betapa sayunya hati kecilku ini untuk melepaskan kau pergi.

"Engkau.... mahu ke mana...?" soalku.

Engkau tersenyum.

"Sudah sampai masanya untuk aku pergi....." 

Mataku berair.

"Sesungguhnya aku belum puas untuk bersamamu! 30 hari bersamamu, aku rasa singkat sekali...
Jangan pergi.. jangan pergi..." aku merayu dalam kesayuan.

Engkau yang penuh cahaya rahmat itu tersenyum lagi. 

"Aku mengerti perasanmu. Namun, sebagai hamba yang selalu taat & patuh kepada Tuhanku Yang Menciptakan & Mengaturkan peristiwa malam & siang, aku tetap akan pergi.."

Aku terhenyak sepi.

Mengerti keadaan & nasib diri.
Yang mana gagal memanfaatkan masa bersamamu kekasih yang dinanti sekian lama.
Kalau Allah izinkan, ini bermakna aku perlu berdoa sepanjang 11 bulan lagi untuk bertemu semula denganmu pada masa seterusnya..

Itupun, jika Allah izinkan umurku panjang untuk bertemumu lagi... 

"Jangan bersedih... Syawal yang tiba ini adalah kemenangan buat semua muslimin & muslimat..." pujukmu.

Aku menggeleng.

"Tapi aku tidak layak digelar pemenang pun..."  

Aku tambah sedih pabila terkenang sabda Nabi; bahawa celakalah orang yang memasuki Ramadan namun, gagal memperolehi keampunan daripada Allah swt.

"Jangan bersedih... Sahabatku yang baik itu sedang menantimu di hadapan. Kau masih boleh merasai kehadiranku di dalamnya. Begitu juga dengan sahabat-sahabatku yang lain. Teruskanlah momentum ibadahmu jika benar kau ikhlas keranaNya selama 30 hari bersama-samaku..." 

Ah....
Pujukan itu benar-benar menusuk hatiku.
Buat aku tak mampu berkata apa-apa lagi.
Kau tetap akan pergi..
Menurut perkiraan Tuhan Yang Maha Agung.

"InsyaAllah kita akan bertemu lagi tahun hadapan. Hiasilah dirimu dengan taqwa yang teguh kepadaNya sepanjang kerinduanmu kepadaku nanti ya...?" 

"-------"


******************************************


Ya...

Ramadan yang mulia itu sudah pun berlalu pergi..
 
Ya Allah. Gusar hati tatkala merenung kembali seputar 30 hari di dalam satu-satunya bulan yang disebut di dalam al-Quran Nur Qarim itu.

Apakah telah ku manfaat semua peluang & ruang yang Allah kurniakan kepadaku kali ini...?

Ya Allah...
Sayu & takutnya hati ini...

Sebagai insan yang berlumur dosa sepanjang kehidupan menjadi hambaNya ini.. Ramadan merupakan kekasih yang selalu dinanti-nanti, dirindui sepanjang tahun. Disebut-sebut di dalam doa & harapan untuk menjadi medan, guru serta madrasah tarbiyyah bagi memperbaiki & menambah amalan & darjat kedudukan di sisi pemilik cinta abadi.

Ya Allah, terimalah semua amalanku yang tidak seberapa itu & kurniakanlah keampunan, redha, rahmat & cintaMu kepada hambaMu yang hina & jahil ini..

Hati ini rindu Ramadan yang mentarbiyyah hati, menjadi 'spirit booster' untuk mencari cinta, rahmat, redha & ampunan daripada Ilahi.

Persoalannya,
Bagaimana hendakku lunaskan rindu yang semakin membuak-buak ini..?



************************

SYIFA' BAGI SEBUAH KERINDUAN.
Syifa' (penawar) bagi kerinduan itu mungkin boleh diperolehi di dalam bulan Syawal yang mulia ini juga, insyaAllah. Hal ini sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam di dalam 2 hadis.  

1) Sabda Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam; 
"Sesiapa yang puasa Ramadan & diikuti dengan enam hari daripada Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun." [HR Muslim daripada Abu Ayyub]

2) Juga Nabi salallahu 'alaihi wasallam bersabda; 
"Sesiapa yang puasa Ramadan, satu bulan ganjarannya sepuluh bulan. Dan dia berpuasa 6 hari daripada bulan berbuka (syawal), dengan itu genaplah (pahala) satu tahun." [HR Sa'id bin Mansur daripada Thauban]

Imam an-Nawawi berkata;
"Ashab kita (fuqaha mazhab kita) berpendapat bahawa disunatkan puasa 6 hari daripada syawal berdasarkan hadis-hadis di atas. Tidak ada perselisihan di antara kami. Begitu juga pendapat Ahmad & Daud."

Pelaksanaannya pula berdasarkan kata-kata Imam an-Nawawi;
"Digalakkan puasa sunat ini secara berturut-turut pada awal bulan Syawal. Jika diselang-selikan, atau dilewatkan sehingga akhir bulan harus juga & dikiran melaksanakan apa yang disunatkan kerana hadis menyebut secara umum tanpa mengaitkan dengan awal atau akhir, berturut-turut atau tidak."


Antara Qadha Puasa Ramadan (Puasa Ganti) & Sunat Syawal (Puasa 6).

Syaikh Daud Fatani menjelaskan persoalan ini di dalam kitabnya, 'Bughyah at-Tullab li Muridi Ma'rifatil Ahkami Bis-Sawab.', juzuk 2, halaman 128 seperti berikut;

1) Orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sebab uzur, sunat juga berpuasa 6 hari daripada Syawal (sebelum qadha).
2) Orang yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa uzur, wajib menyegerakan qadha puasa Ramadan. Dia wajib qadha puasa Ramadan terlebih dahulu. Jika terlepas sunat Syawal kerana menunaikan qadha puasa Ramadan, dia boleh qadha sunat Syawal pada bulan Zulkaedah. Kes ini; sekiranya dia tidak berniat sunat Syawal beserta qadha Ramadan. Jika dia telah berniat sunat Syawal beserta dengan puasa qadhanya, maka dia memperoleh pahala sunat & tidak perlu diqadha sunat Syawal ke bulan Zulkaedah.
3) Seseorang yang mempunyai tanggungan puasa wajib, samada puasa qadha, nazar atau lain-lain, jika dia berniat untuk puasa sunat Syawal selepas menyelesaikan puasa wajib, dia tidak mendapat pahala sunat Syawal ketika puasa wajib itu. Tetapi jika dia berniat puasa wajib serta sunat syawal, atau tidak berniat sunat syawal (hanya niat wajib sahaja), dia akan mendapat pahala sunat syawal & tidak lagi dituntut mengerjakan puasa wajib itu.

Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan ibadah sebaiknya lakukan yang paling selamat & selari dengan pendapat semua pihak. 

Sempurnakanlah yang wajib terlebih dahulu, kemudian barulah diikuti dengan yang sunat.

Jom, kita berpuasa di bulan Syawal, bagi sesiapa yang telah pun membuak rindunya kepada Ramadan; Kekasih yang telah semakin jauh meninggalkan kita...


Allahu'alam..


p/s: Penerangan tentang Puasa Syawal & Puasa Qadha di atas diambil & dirujuk melalui tulisan Ustazah Maznah Daud; Fikah Wanita - ANIS (September 2012).