Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Sunday, October 30, 2011

Ujian Itu Tarbiyah Tuhan.



Berhajat mencapai yang mulia lagi tinggi,
tetapi wujud cabaran menghalangi,
diri rasa teruji dan tidak mampu,
kadang rasa lemah dengan merajuknya hati.

Tetapi cabaran itu juga daripada Tuhan,
yang selama ini menghidupkan dan memberi rezeki,
maka tidakkah kita percaya kepada Sang Bijaksana,
bahawa di balik cabaran ada hikmahNya yang tersendiri?

Kita mengeluh dan merungut,
tetapi kadangkala kita terlupa menggerakkan diri,
apakah mungkin kejayaan datang bertandang,
tanpa kesusahan membersihkan hati?

Cabaran itu juga daripada Tuhan,
maka apakah yang tidak baiknya buat insani?
Melatih agar manusia itu menjadi cekal,
agar muncul mulia dalam peribadi.

Kadang susah biar kita bijak bersyukur,
kerana manusia itu sering melupai,
kadang sakit biar kita beringat,
kerana manusia itu sering meninggi diri,
kadang dosa itu biar kita sedar,
kerana manusia itu sering bongkak dalam kalbunya nanti.

Cabaran itu juga daripada Tuhan,
tidakkah kita memerhatikannya dengan mata hati?

~Hilal Asyraf~
0653
301011
Irbid,
Jordan.
Kitab Usaha.

Friday, October 21, 2011

Bukanlah Jodoh Namanya...



Bismillahirrohmanirrohim.. 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..,

Kali ini aku menitipkan sebuah kisah buat tatapan & pengajaran kita bersama. Nama watak hanyalah rekaan & jika kisah ini sama dengan sesiapa, sesungguhnya ia hanyalah sekadar kebetulan..


****************

Syauqah tersenyum melihat gambar pernikahan & walimah sahabatnya itu. Nampak anggun dalam persalinan kuning emas. Yang seorang lagi nampak manis dalam tema warna hitam putih.

Matanya beralih pula ke 'tab' yang lain. Wall photos yang dikongsikan salah seorang sahabatnya sewaktu masih bersekolah menengah. 

 "Comelnya anak Ilya. Dah ada 2 orang anak dah dia... kejapnya masa berlalu.." bisiknya perlahan.

Tatkala matanya membaca satu persatu komen-komen kawan-kawan di bawah gambar tersebut, dia perasan, ada satu komen daripada temannya yang juga agak rapat dengannya suatu ketika dahulu bakal mendirikan rumah tangga hujung tahun ini.

Kemudian, secara tiba-tiba, terdetiklah di hatinya.

"Seorang lagi sahabat nak mendirikan baitul muslim. Alhamdulillah.."

"Aku entah bilalah lagi. Belajar pun masih belum habis, Keluarga mengharapkan untuk sambung ke peringkat yang lebih tinggi. Haish, calon pun belum cari... jangan jadi andartu aku kelak sudahlah..." rintih hatinya bercelaru.

Bila melihat teman-teman yang lain sudah 'menayang'kan calon zauj masing-masing, 

"Nampaknya aku sahajalah yang tak ada calon. Akulah bakal-bakal wajah andartu nanti..." seloroh Syauqah kepada teman-temannya.



***
Masa terus berlalu...
Sedar tidak sedar, Syauqah meniti tahun akhir pengajiannya. Pada waktu inilah kesabaran, kekuatan mental, emosi & jasadnya diuji Allah. Kesibukan menyiapkan projek tahun akhir, menghadiri kuliah, Test, Quiz, Field Trip, Field Visit, Report dan Kerja makmal amatlah menguji keimanannya.

Tidak cukup waktu siang, saban malam juga dihabiskan dengan kunjungan ke makmal untuk menyiapkan tugasan projeknya. Tidak lupa juga temu janjinya dengan adik-adik Usrah yang begitu bersemangat untuk sama-sama berkongsi ilmu dengannya saban minggu.

Ditakdirkan Allah, dalam kesibukan itu, Allah telah menghantar seorang lelaki ajnabi di dalam hidupnya. Secara tiba-tiba sahaja Syauqah dikhitbah (dipinang) oleh lelaki tersebut. Alamat rumah ibu bapanya di kejauhan dipinta untuk dikunjungi menghantar lamaran & risikan. 

Syauqah terkedu. Terasa dunianya yang 'hiruk pikuk' menjadi sunyi buat seketika. Jujurnya, ini adalah kali pertama dia menerima lamaran yang sangat serius sepanjang peng'hijrah'annya.

Kali ini... bukan menjadi kekasih seperti kebiasannya, tetapi menjadi seorang isteri. Begitulah seriusnya khitbah kali ini.

Terpaksa diakuinya, semenjak dia mengenakan tudung labuh beberapa tahun lalu, hidupnya semakin sunyi daripada mana-mana lelaki ajnabi pun. Kata teman-teman terdekat, mereka takut untuk mendekati, bimbang tak sepadan ilmu & akhlak katanya. 

"Syauqah baik, aku jahat. Mana layak aku untuk dia." Itu kata mereka walau tak pernah terniat di hati gadis muda itu untuk dihakimi melalui penampilannya semata-mata.

Hatinya terasa berbelah bahagi. Dilihatnya keluarga lelaki ajnabi itu. Molek-molek akhlak & penampilan mereka. Saudara perempuannya mengenakan tudung labuh & ada yang mengenakan niqab. Alhamdulillah, hatinya agak terusik di situ. Namun, masih terlalu awal untuk membuat keputusan.

"...Ya Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu & sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam setiap urusan kami." [surah 18, al-Kahfi ayat 10]
Doa yang dipohon semakin panjang di setiap penghujung pertemuan dengan Ilahi. Saban masa bibir & hati memohon petunjuk daripada Allah dengan penuh rendah hati. Siapalah dia, si jahil yang tidak tahu apa-apa tanpa pentunjuk daripadaNya?

Kepada insan yang disayangi & dipercayai, adindanya; Solehah, tempat mengadu & meminta pandangan.

"Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW ada bersabda, "Jika datang pinangan daripada lelaki yang kamu yakini akhlak & agamanya, tetapi kamu tolak, ditakuti akan membawa kerosakan yang besar.." maknanya, ada kemungkinan, calon yang selepas itu mungkin tidak sebaik yang mula-mula tadi." ujarku memulakan.
Solehah membalas; 
"Ya.. memang betul.. tapi jika dia bukanlah orangnya, mungkin yang selepas ini adalah jauh lebih baik daripadanya. Sebab dia tak ada jodoh dengan akak.." 

Syauqah tersenyum.

":) Bukanlah jodoh namanya selagi belum diijabkabulkan..." ringkas balasannya.

Solehah mengambil beberapa minit untuk membalas. 

"Istikharahlah... kita sebagai makmum memang memerlukan imam yang lebih berilmu, beramal & berakhlak untuk membimbing kita..." pesan Solehah.

"...Adik tak kisah, asalkan dia beriman & soleh. Seeloknya minta pandangan ibu dulu.."

Syauqah terus membisu.

"InsyaAllah, doakanlah akak mendapat petunjuk & rahmat daripadaNya.. Mungkin juga ini hanya ujian..." balasnya seakan redha.

"Mungkin juga. Adik pun rasa macam tu. Allah mungkin mahu menguji.." balas Solehah lagi.

Syauqah masih bingung. Semuanya berlaku terlalu pantas. Kepalanya terasa sangat penuh sudah dengan perihal pengajiannya yang agak membebankan semester ini. Dalam pada itu fikirannya asyik teringatkan media plates-nya yang masih belum beku sepenuhnya di dalam Laminar Flow blok G09K yang perlu disimpan di dalam container lebih kurang sejam lagi.

Syauqah menghembuskan nafasnya.

"Ya Allah.... janganlah Kau uji aku dengan ujian yang tak mampu untuk aku tanggungi & jauhkanlah aku daripada ujian yang boleh menjauhkan aku daripadaMu.." doanya perlahan dengan mata berair. 
Langkahnya diatur menapak ke bangunan hadapan untuk kuliah seterusnya.

***
"Telah tercatat seungkap nama lelaki di Luh Mahfuz untukmu.. Cuma keperibadiaannya ditentukan oleh sejauh mana ketinggian peribadimu."
 
Malam itu. Syauqah terjaga. Doa istikharah dibacanya. Berulang-ulang kali penuh harapan. Tiadalah daya upayanya melainkan dengan bantuan & pertolongan daripada Allah semata-mata.

Matanya berkaca lagi. Hatinya terasa tidak mampu menjalani ujian tersebut. Hatinya terasa lemah dalam membuat keputusan.

***

Hari demi hari berlalu... 

Syauqah sudah berfikir semasak-masaknya...

Hari-harinya masih dilanda kesibukan & amanah-amanah yang bertimbun. Syauqah sedar, dia belum mampu untuk menerima amanah yang baru.

Menjadi seorang zaujah bukanlah suatu amanah yang kecil mahupun bertujuan menghalalkan persentuhan antara lelaki & wanita bukan mahram sahaja. 

Ijab & kabul adalah janji kepada Allah yang dilakukan dengan ikrar & tekad untuk meneruskan perjalanan meraih mardhotillah di samping melahirkan lebih ramai mujahid & mujahidah yang akan menegakkan agamaNya di bumi ini. 
Sudah tentu sekali perjalanan itu bukanlah wangi & indah sahaja. Tentu banyak onak, duri & ranjau yang harus ditempuhi..

Allah telah membulatkan tekadnya, Allah telah menguatkan hatinya dalam membuat pilihan.

Syauqah redha..

Banyak pilihan di depan mata, tidak ada satu pilihan yang kita ketahui baik & buruknya melainkan Allah membantu kita untuk memilih pilihan yang terbaik..

Dalam perihal mencari pasangan, bukan masa masalahnya.
Cepat ataupun lambat itu sepatutnya tidak menjadi kerisauan yang paling utama. Yang penting, dia (calon) yang kita pilih itu adalah pilihan yang terbaik, yang dipilih atas dasar tawakal kepada Allah semata-mata.

Mungkin hari ni dia belum terbuka hati.. ataupun Allah belum menunjuki siapa dia yang terbaik buat mereka.
 
Boleh jadi juga dia bukanlah pilihan yang terbaik.. & boleh jadi juga bila pengkhitbah itu mendapat jawapan istikharahnya, hatinya akan terbuka untuk akhowat yang lain..

Demi Allah, Syauqah tak yakin dia sudah cukup solehah untuk sesiapa pun setakat ini...
 
Dia menyerahkan semuanya kpd Allah..

Alhamdulillah, lelaki itu soleh. Hatinya lembut, redha & terbuka sahaja menerima jawapannya itu.

Syauqah bersyukur.. Allah menghantar 'teguran'Nya buat dirinya dengan cara yang sebegini halus. Selama ini dia terlalu memikirkan perkara yang belum lagi Allah rezekikan buatnya, malah mencemburui rezeki yang Dia kurniakan buat hamba-hambaNya yang lain, padahal Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat setiap hambaNya.

Firman Allah;
"Allah melebihkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan membatasi (rezeki itu) baginya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." [surah ke-29; al-Ankabut : ayat 140]

Syauqah juga teringat pesanan seseorang yang dihormatinya;

"Janganlah mencemburui jalan yang dilalui orang lain sehingga membutakan mata kita untuk melihat betapa indahnya jalan yang sedang kita lalui. Sesungguhnya Allah itu Lebih Mengetahui hal yang terbaik buat setiap dari kita.." 

Mata Syauqah basah dalam kepiluan & keinsafan. 
"Sedangkan sehelai daun yang keguguran pun Allah Tahu, inikan pula setakat perihal jodohku? Pastilah Allah lebih tahu calon yang terbaik untuk dipertemukan denganku pada saat yang terbaik..." rintihnya kepiluan.

Tafsirnya yang berwarna ungu itu dibuka lagi.

"Maka Ingatlah kepadaKu, Aku pun akan Mengingatimu. Bersyukurlah padaKu, & janganlah kamu ingkar kepadaKu." [surah ke-2; al-Baqarah; ayat 152]

"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar & solat. Sesungguhnya, Allah bersama-sama dengan orang yang sabar." [2: 153]

Syauqah tersenyum manis sesudah menghabiskan ayat terakhir tadarus & tadabburnya malam itu. Dia mengambil ibrah yang sangat besar daripada ujian yang Allah berikan kali ini.

Belum sampai lagi jodohnya, kerana belum masanya, Allah tahu, dia belum bersedia. Syauqah juga tahu, masih banyak amanah yang Allah letakkan di bahunya untuk disempurnakan.

Allah Lebih Mengetahui Bila masa yang paling sesuai untuk memberikan cinta seorang zauj bersaksikan cinta kepadaNya kelak. Allah Tahu. Cuma masanya sahaja yang belum tiba.

Tidak kiralah jika sudah habis semua sahabatnya bernikah sekali pun.. tetapi dia tidak seharusnya berasa ralat & kesedihan kerana Allah tahu, dia belum bersedia... 

Syauqah tersenyum lagi... Dia bersyukur.


********************




Firman Allah SWT di dalam surah ke-24, an-Nur ayat ke-31; 

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada...

suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan;

dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

***

Wait patiently. Grow & be ready, InsyaAllah, you’ll see Allah will give you a love story far better than you could ever dream of. 

Jaga aurat, jaga peribadi, jaga akhlak, & jagalah hati... milikilah dahulu cinta Allah & letakkanlah Allah di tempat yang paling tinggi di dalam hatimu, insyaAllah kelak Dia akan menyerahkan hatimu kepada pemilik yang juga turut mencintaiNya sebagaimana dirimu mencintaiNya..


Terfikir tak? Bahawa jodoh kita belum tiba kerana Allah mahu memanjangkan waktu untuk kita membenih cinta bersamaNya, bersama Rasulullah, Ibu, ibu, ibu, ayah & keluarga. Benih cinta yang baik & dijaga dengan rapi itu bakal membuahkan hasil yang berkualiti & baik juga.. 

Cintailah Allah, nabimu, ibumu, ibumu. ibumu, ayahmu, saudara-saudaramu... insyaAllah.. dengan demikian itu sudah mencukupi untuk menjadi 'bekal' sementara penantian untuk bertemu dengan'nya' yang mungkin juga sedang berbahagia menuai cinta, kasih & bakti bersama keluarga...

Ingatlah, kita merancang, Allah merancang, tetapi Allah-lah menentukan segala-galanya. Dan sesungguhnya,. ketentuan Allah itulah yang terbaik...




:)

Wallahu 'alam..  

-------
NOTAKAKI:

Jaga niat kita dalam memperbaiki diri, bukanlah semata kerana mengejar jodoh yang soleh. Namun, pastikanlah, usahakanlah agar niat kita semata-mata hanya kerana ALLAH. BACA DI [SINI]


Wednesday, October 19, 2011

Doa Paling Iblis Geruni.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Muhammad bin Wasi’ mengatakan bahawa pada suatu hari ketika beliau dalam perjalanan ke masjid, Tiba-tiba, iblis muncul dihadapannya dan berkata 

“Wahai anak Wasi’ engkau kenalkah aku?” 

Beliau menjawab “ Siapa engkau ini?” 

Ujar iblis, “Aku iblis”. 

"Engkau mahu apa?", Tanya Muhammad. 

Iblis menjawab sambil merayu “Engkau jangan ajarkan kepada sesiapa pun doa itu dan aku berjanji tidak akan menganggumu."


Muhammad bin Wasi’ menjawab dengan tegas “ Demi Allah aku tidak akan halang sesiapa pun untuk mempelajarinya dan engkau buatlah apa yang engkau hendak buat.
 
Tahukah sahabat-sahabat doa apakah yang Muhammad bin Wasi’ bacakan tiap-tiap pagi hingga iblis begitu gerun mendengarnya?




Amalkan pada tiap-tiap pagi. Insyaallah, kita tidak akan diganggu iblis laknatullah. Moga kita semua dijauhkan dari tipu daya iblis laknatullah. Selamat beramal (^^,).


Rasululullah SAW bersabda; "Doa adalah senjata orang mukmin." 

Dalam kesempatan lain, baginda bersabda; "Doa adalah inti ibadah."

Dengan doa & zikir, insyaAllah seorang mukmin akan mendapatkan cinta Tuhannya, terhindar daripada pelbagai gangguan jahat & imannya semakin kuat. Dengan doa & zikir, hati menjadi hidup, tenang & bahagia.

Allahu 'alam.


sumber: SOLEHAH

Sunday, October 9, 2011

Rahsia Kesihatan Rasulullah SAW.



CARA RASULULLAH S.A.W MENJAGA KESIHATAN DIRI

* SELALU BANGUN SEBELUM SUBUH

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.

Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

* AKTIF MENJAGA KEBERSIHAN

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)

* TIDAK PERNAH MAKAN BERLEBIHAN
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

* GEMAR BERJALAN KAKI

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

* TIDAK PEMARAH

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang kan gundah di hati.

* OPTIMIS DAN TIDAK PUTUS ASA


Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.

* TIDAK PERNAH IRI HATI

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. 
 
“Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

* PEMAAF
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.

"BAHAGIA sebenarnya bukan MENDAPAT tetapi dengan MEMBERI. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasulullah.. semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.."  ;-)

Oleh Ustaz Zawawi Yusof