Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Friday, November 26, 2010

Award Untuk Kamu. :)


Salam alaik.. Alhamdulillah, masih ada yang sudi follow blog ini walau tak ber-update. Mudah2an beroleh manfaat.. 

Sebenarnya ingin menukilkan sesuatu di sini sebelum balik. Idea juga sudah ada, namun masa tidak mengizinkan.. Tak mengapalah, panjang umur, insyaAllah mungkin boleh berkongsi di lain masa. Doakan. :)

Di kesempatan ini, penulis ingin memberikan award kepada follower yang ke 300 dan ke atas. Sokongan kalian amatlah dihargai, & membuatkan penulis terharu. Terasa semakin bersemangat untuk berkongsi dengan kalian. Sharing is caring, right?

Teruskanlah mengikuti laman yang serba kekurangan ini & berilah teguran sekiranya ada kesilapan & kekhilafan. Penulis juga hanyalah insan biasa, hamba Allah yang dhoif & masih bertatih untuk menyusuri jalan pencintaNya..

Sementelah penulis akan bercuti selama sebulan, ada kemungkinannya blog ini tak akan  di-updatekan dalam tempoh tersebut. Namun, doa-doakanlah kita punya jodoh untuk bertemu lagi. 

Juga cuti yang ada jangan sesekali biarkan dakwah, iman kita juga bercuti. Keep moving on. Jangan diri semakin baik dari hari ke hari.. serta awal sesuatu perbuatan atau tindakan, perbetulkanlah niat. Pastikan semuanya semata2 demi mendapatkan keredhaan dari Allah semata-mata..

Sebelum mengundurkan diri untuk bersiap pulang ke pangkuan keluarga; menaiki bas pukul 10 malam ini, penulis ingin memohon kemaafan dari pembaca yang pernah singgah di sini & tersinggung dengan mana-mana tulisan, nukilan atau coretan dari penulis. Maafkanlah ya..

Sampai di sini sahaja dulu. Mudah2an bertemu lagi. Award di atas saya cipta khas untuk kamu semua. Teruskan mengikuti para pencintaMu & semoga Allah terus meredhai kita semua.


Allahu 'alam. Ilalliqa'.. :)

Salam warahmatullah.. 

Saturday, November 20, 2010

Moga Bertemu Lagi Dalam SyurgaNya..



Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang; '...."Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, serta sediakanlah petunjuk untuk kami dalam menyelesaikan urusan kami.'." [Al-Kahfi: 10] 

Dengan Asma' Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Alhamdulillah, peperiksaan bakal menginjak ke minggu yang terakhir, insyaAllah. Paper exam pun berbaki tinggal 2 subjek kod 'U'. Paper 'core' dan 'minor', Alhamdulillah sudah lepas. Oh ya, jangan ditanya status paper yang sudah lepas itu. Biarlah menjadi rahsia aku & Tuhanku.. :)

Firman Allah;
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." [Surah Luqman: 14] 

InsyaAllah, subuh yang bakal menjelang ini menandakan ibuku akan bertambah lagi bilangan umurnya. Semoga Allah sentiasa merahmatinya. Aku sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya dari kejauhan & dalam kerinduan yang amat sangat.


Ibu & ibu kesayangannya..

 

"Ibu, i love you." kataku sangat lama dahulu. 

"Hm.. ibu nak jawab macam mana tu?" tanya ibu. Seingat dia, itu kali pertama ku menyatakan cinta padanya dalam bahasa inggeris.

"Ibu jawabla; i love you too.."

Selepas itu, memang menjadi kewajipan kami itu saling bertukar 'ayat-ayat cinta' sebelum menamatkan panggilan telefon. :) Alhamdulillah.

Kepada calon zaujku. Aku benar-benar minta maaf. Kamu bukanlah orang yang pertama menerima ayat tersebut. (^^,)

Tempohari telefon bimbitku ditakdirkan rosak. Aku sangat terharu apabila ibu & ayah menghadiahkanku telefon bimbit baru kerana tidak sampai hati dengan keadaanku yang terpaksa menggunakan 'public phone' untuk berhubung dengan mereka.

Aku juga sangat terharu apabila ibu benar-benar menghantar rendang & sambal buatku kerana tak dapat pulang waktu raya aidiladha yang lalu walau sebenarnya aku hanya bergurau. Sungguh aku sangat bersyukur tatkala menerima bungkusan tersebut.

Demi Allah, aku sangat mencintai ibuku, ibuku, ibuku & ayahku selepas Allah & rasulullah saw. Akanku sedaya upaya berusaha untuk menjadi anak yang solehah, menyejukkan mata & membahagiakan hati keduanya selagi aku masih hidup, insyaAllah.

Teringat perbualan telefon dengan ibu malam 10 zulhijjah tempohari. Berlatarbelakangkan suara takbir dari masjid USM;

"Jangan sedih-sedih.. insyaAllah nanti bila In balik, kita masak lagi rendang & makan sama-sama ya.." pujuk ibu walau aku tidak ada mengadu sedih pun padanya. Namun, nalurinya pantas merasa apa yang kurasa.

"InsyaAllah, bu.."

"Ibu pun dah beli barang-barang nak masak macam-macam. Nanti kita masak sama-sama ya.." ibu memujuk lagi.

"InsyaAllah bu.." Mata dah berair-air. 

"Ibu, in rindu kat ibu.. cakap kat ayah in rindu dekat ayah jugak.." kataku penuh perasaan.

"Kami pun rindu jugak dekat in. Belajar rajin-rajin, buat exam betul-betul. nanti balik insyaAllah kita jumpa." Dia memberikan semangat.

"Ok ibu, i love you banyak, banyyyaaakkk, banyak, banyak." kataku penuh perasaan. 

Tapi, tak sangka ibu akan jawab macam ini.

"I love you too, too, toooo, too..." 

Kami sama-sama tergelak. MasyaAllah, Allah memberikanku nikmat cinta halal yang begitu indah untuk dinikmati.

Sungguh, ibuku sangat comel. Aku sungguh bersyukur dilahirkan sebagai anak perempuan sulung ibu. Aku berharap ibu berasa begitu juga walau aku ini banyak sangat kurangnya. Mudah-mudahan.

Selamat hari lahir ibuku yang dicintai oleh Allah.. Semoga cinta Allah akan sentiasa mewangi dalam hatimu. Semoga rahmat Allah sentiasa melimpahi ruang hidupmu. Semoga redha Allah sentiasa akan memayungi ruang reluk nafasmu.

Firman Allah swt;
"....'Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat'...." [Al-Baqarah: 83]

Sahabat-sahabat muslimah semua;
Buat yang masih belum bernikah, marilah bersama-sama kita menyempurnakan cinta ini sebelum syurga kita beralih kepada suami. insyaAllah. Sayangilah ibubapamu & berbaktilah kepada mereka. 

Bagi sahabat yang muslimin, ingatlah, biarpun kamu sudah bernikah, ibumu tetap adalah orang yang ke-3, ke-4, ke-5 duduknya dalam hidupmu setelah Allah & rasulullah saw. Selepas itu barulah ayahmu. Selepas itu barulah yang lain-lain. Janganlah sesekali kamu melebihkan isterimu & menyakiti hati ibumu..

Sesungguhnya Allah juga berkali-kali menyebut dalam Al Quran termasuk dalam surah An-Nisa, surah Al-an'am, & banyak disebutkan dalam hadis supaya kita menjadi anak yang baik & menjaga adab ketika bersama dengan ibu bapa.

Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa....." [Al-An'am: 151]

Allah berfirman lagi; "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa...." [An-Nisa': 36] 

Dalam pada tercari-cari gambar ibu untuk di-edit sebelum di-upload ke blog ini, aku terjumpa gambar yang lain pula. 


Ini arnab yang hampir sama dengan arnab kesayanganku; Cumi. Aku tidak sempat mengambil gambarnya. 2 gambar kecil itu adalah anak Cumi; Ciki.

Sudah lama aku tidak bertemu dengan mereka Mungkin kala ini, Cumi & anak-anaknya sudah pun bermain-main di dalam syurga Allah..

Aku masih ingat.. kali pertama ku bertemu Cumi, waktu itu tengahari pertengahan tahun 2006. Cumi adalah sebatang kara kerana ditinggalkan ibubapanya setelah dia sebesar tapak tangan. Manakala, adik-beradik Cumi mati dimakan kucing jantan jiran. Adik bongsuku merupakan saksi yang melihat anak arnab yang terakhir (kecuali Cumi) digonggong oleh kucing tersebut. Dia menangis sehingga ke malam kerana sangat menyesal kerana gagal menyelamatkan anak arnab tersebut. Kami yang lain-lain turut ikut bersedih kerana hal itu.

Hanya Cumi seekor saja yang terselamat. Dia menyorok di bawah kayu pangkin. Itupun dia menjerit nyaring waktu kami memegangnya yang kala itu saiznya hanya muat-muat tapak tangan. Kata ayah, Cumi trauma & ketakutan. Kasihan Cumi...

Demi Allah, Cumi memang sangat comel. Warnanya kelabu dan lehernya seakan-akan memakai shawl berwarna putih. Tangan dan kakinya juga memakai stokin putih.

Kami sangat sayangkan Cumi. Aku terutamanya. Seluruh keluarga tahu, aku paling sayangkan Cumi. Cumi juga mungkin paling sayangkan aku.. hehe. Sedikit perasan di situ.

Waktu aku meninggalkan Cumi demi menyambung pengajianku, hatiku rasa sangat berat & selalu merindukan Cumi hingga termimpi-mimpi sambil menangis. Roommate-ku pernah bertanya kepadaku;

"Cumi tu nama manja pakwe kau ke?.... sampaikan tersebut-sebut dalam mimpi..."

Tergelak aku mendengarnya. Sayangnya, Cumi itu betina. huhu.

*****
Feeling sekejap.

(T_T) sebenarnya aku sangat rindukan Cumi. Biarpun kini sudah ada Oyen (kucing jantan) sebagai pengganti. Namun, Cumi tetap teristimewa di hatiku kerana Cumi haiwan peliharaanku yang pertama; yang ku bela, tidur bersama, tengok tv bersama, makan bersama serta berkongsi rahsia. Cumi tahu banyak rahsiaku yang orang lain tidak tahu...

Haiwan-haiwan kesayangan kami, Cumi, anak-anak Cumi, Ciki & Ciko, Apok (Kucing jantan), semuanya sangat-sangat disayangi oleh Allah. Maka, mereka pergi dahulu meninggalkan kami. Harapnya kami akan bertemu lagi dengan mereka, insyaAllah.

Buat Cumi yang kucintai & kurindui kerana Allah.. walau tak pernah mendengar suaramu membalas semua kata-kataku, luahan rasaku, aku tetap sangat menghargaimu. Damailah kamu dalam kasih Allah. InsyaAllah kita akan bertemu lagi dalam rahmatNya.

Ya Allah... ampunilah semua dosa-dosa kami & himpunkanlah kami dalam syurgaMu dengan hati yang puas dan diredhaiMu. Ya Allah, himpunkanlah aku dengan orang-orang & yang menjadi kesayanganku di dalam jannahMu. amiin..


Suatu hadis dari Rasulullah saw;
Seseorang itu akan dihimpunkan bersama dengan orang yang dicintainya. (Hadith Riwayat Al-Bukhari). 

Ibu, ayah, Cumi & semua yang kucintai kerana Allah... insyaAllah, kita akan bertemu lagi dalam syurgaNya... insyaAllah. 

Baiklah, aku yang cembeng mahu berhenti menaip sebelum mata semakin perit.

Salam aidiladha semua. 

Allahu 'alam.




p/s: InsyaAllah, tinggal seminggu lagi..

Wednesday, November 10, 2010

Positif Itu Indah. :)



Maha Benar Allah atas firmanNya dalam surah Ar-Ra’d ayat 28. 
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati akan menjadi tenteram.

Aku mudah jatuh hati. Aku mudah jatuh cinta. Aku senang jatuh sayang. Hatiku jatuh sudah terjatuh buatMu.. 

Haish… mudahnya aku jatuh cinta ya? *blushing*. InsyaAllah, ini adalah cinta yang halal. :) Jatuh cinta ini jugalah kerana ingin memburu keredhaanMu, ya Allah..

Rasulullah SAW bersabda;
"Demi Allah yang jiwaku berada dalam tanganNya, tidaklah beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri."


Punca aku jatuh cinta ini kerana aku suka benar curi-curi merenung, memerhati & meneliti perlakuan seseorang. Sesungguhnya, orang yang baik-baik memang tidak sukar untuk membuatkan sesiapa pun untuk jatuh cinta kepadanya. Orang yang solehah memang senang untuk membuatkan sesiapa pun jatuh hati kepadanya. 

Siapa yang tidak jatuh hati kepada orang yang baik kan?

Malah, akhlak Rasulullah saw yang sangat-sangat baik itu antara faktor utama yang menyebabkan orang-orang di sekeliling baginda jatuh cinta kepada Allah & menganuti agama Islam.

Siapa yang tidak suka dengan orang yang berakhlak mulia, lemah lembut, pemalu, baik hati & jujur, serta santun tutur kata, penampilan & perbuatan.

Bila kita tengok orang yang baik-baik ini, hati kita rasa tenang, sejuk jiwa kita tatkala mendengar tuturnya. Rasa seronok bertemu dengannya. Subhanallah! *melting, melting* 

Sebagai insan yang terlalu banyak kekurangan & masih bertatih dalam memperbaiki kualiti diri, antara cara atau tips yang aku gunakan untuk memperbaiki diri ialah dengan jatuh cinta kepada orang yang baik-baik ini.
Jatuh cinta dengan iman mereka, jatuh hati dengan ibadah mereka, jatuh sayang dengan akhlak mereka. Lalu gunakan semua yang baik-baik itu sebagai teladan diri. Tidak kiralah orang itu muda daripada kita, atau tua daripada kita, tetaplah hormat kepada mereka. Itu sangat penting.

Lihat akhlak mereka untuk menjadikan diri lebih berakhlak, lihat kesopanan mereka untuk menjadikan diri lebih bersopan santun, lihat malu mereka untuk menjadi lebih pemalu, lihat kelembutan mereka untuk menjadi lebih lemah lembut.

Selalulah mencari sisi yang baik-baik sahaja tatkala kita berjumpa & melihat seseorang. Selepas itu, contohilah sikap yang baik itu.

Aku percaya. Jauh di sudut hati kita semua, mesti ada terdetik hasrat untuk menjadi orang yang baik & menjadi orang yang lebih baik dari hari ke hari. Betul kan?

Masalahnya; kita tidak tahu harus mula dari mana. Bagaimana mahu berubah? Apa yang patut dibuat? Apa langkah pertama untuk berubah?

Menurut Kitab Mukasyafah Al-Qulub [Penenang Jiwa; pengubatan & rawatan] tulisan Imam Al-Ghazali, bab pertama yang disentuh adalah tentang hati. Ya, hati. 

Dalam sebuah hadis ada menyebut;
"… Ingat! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika ia baik, maka baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ingat! Itulah hati." [HR Bukhari & Muslim]


Maknanya, jika mahu berubah, mulakanlah dengan hati kita. Buang semua yang busuk-busuk, buang semua yang hitam-hitam, buang semua yang basi & berulat itu.

Apa yang busuk, hitam, basi & berulat itu? Selain dari maksiat yang dibuat, itulah dia perasaan prasangka buruk, dendam, iri hati, dengki terhadap orang lain. Itulah yang membuatkan diri kita sentiasa negatif.

Apabila kita berprasangka baik pada orang, insyaAllah, hati kita akan terpelihara daripada menjadi busuk & kotor.

Jangan suka benar mencari kekurangan orang lain. Biasa benar kita tak boleh lihat sikit salah orang, ada saja yang kita nak komen. Laju saja mulut nak mengutuk.

Astaghfirullah hal adzhim. Jangan… jangan begitu. Tatkala kita mahu memberi komen terhadap orang lain, cuba kita letakkan diri kita di tempat beliau.

Apa rasa kita jika kita yang dikutuk?

Tatkala kita mahu melemparkan tanggapan negatif terhadap seseorang, cerminkan diri kita dahulu. Adakah kita benar-benar suci & layak untuk menghakimi & menghukum orang lain begitu & begini?

Firman Allah SWT:
"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." [ Al-Hujurat : 12]

Rasulullah SAW bersabda:
((إِيَّاكُمْ وَالظَنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيْثِ وَلاَ تَحَسَّسُوْا وَلاَ تَجَسَّسُوْا وَلاَ تَحَاسَدُوْا وَلاَ تَبَاغَضُوْا وَلاَ تَدَابَرُوْا وَكُوْنُوْا عِبَادَ اللهِ إِخْوَاناً)).
“Aku peringatkan kepada kalian tentang prasangka, kerana sesungguhnya prasangka adalah perkataan yang paling bohong, dan janganlah kalian berusaha untuk mendapatkan informasi tentang keburukan dan mencari-cari kesalahan orang lain, jangan pula saling dengki, saling benci, saling memusuhi, jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara” (H.R Bukhari & Muslim]

Pernahkah kita berfikir… mengapakah Allah meminjamkan kita sepasang mata, sepasang telinga, sepasang tangan, sepasang kaki tetapi hanya memberikan 1 mulut?   

Pernahkah kita terfikir…
Allah sebenarnya mahu kita menggunakan 2 mata kita itu untuk melihat lebih banyak kebaikan daripada keburukan.

Allah mahu kita menggunakan 2 telinga kita itu untuk mendengar lebih banyak kebaikan.

Lalu kita gunakan 2 tangan & 2 kaki kita itu untuk melakukan & mempraktikkan apa yang kita lihat & dengar itu.

Jadi, Allah beri kita hanya 1 mulut untuk kita gunakan untuk mengatakan hal yang baik-baik & mengurangkan atau tidak berkata langsung hal yang tidak baik. 

Dari Abu Hurairah r.a;
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” [Sahih, HR. Al-Bukhari dan Muslim]

Percayalah, jika kita sudah terbiasa hanya melihat yang baik-baik dalam diri orang lain, akan tiba suatu masanya kita tidak tahu bagaimana caranya untuk bersangka buruk & berkata yang tidak baik tentang orang lain. Atau kita lebih selesa untuk mengelak dari berbicara hal yang bukan-bukan tentang orang lain kerana kita tahu, kita tiada hak untuk itu. 

InsyaAllah, kita akan menjadi orang lebih positif. Secara tidak langsungnya, kita akan merasakan bahawa hidup ini begitu indah malah hati juga merasa lebih tenang & ringan.. insyaAllah! :)

Tatkala mata kita melihat yang baik-baik & indah-indah, yakni akhlak yang baik, perilaku yang sopan, senyuman yang menawan atau segala apapun yang membawa kepada kebaikan; selalulah kita meletakkan kepujian buat Allah & berdoa kepadaNya agar dijadikan kita sebaik apa yang kita lihat & dengar itu.

Contohnya; kita melihat seseorang itu sangat menjaga tutur katanya, suka tersenyum saat bersua & sangat menjaga ibadah solatnya. Maka;

“MasyaAllah… hebatnya hambaMu itu ya Allah. Jadikanlah akhlakku & ibadahku lebih baik dari dirinya agar bertambah kecintaanku kepadaMu..” ucapkanlah ini dalam hati kita. 

Telepati hanya kita & Allah sahaja yang tahu. Selalulah ‘berbual’ dengan Allah. Jika tidak dapat kita rasakan Allah berada di sisi kita, yakinlah Allah sentiasa melihat kita & menyaksikan semua perbuatan kita. InsyaAllah, akan timbul satu rasa yang lain macam dalam hati kita. 

Ya, kita dah jatuh cinta la tu.. :) Jatuh cinta kepada Allah. MasyaAllah, comel macam ni kan?

Akhir kalam;

Bukankah lebih indah, jika bukan hanya kita yang jatuh cinta dengan kebaikan orang lain, bahkan orang lain juga jatuh cinta kepada Allah, Rasulullah SAW & Islam kerana akhlak yang kita tonjolkan. 

MasyaAllah..



Firman Allah SWT:
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu". [Al-Hashr:10]

Allahu 'alam.




p/s: sebelum melakukan apa-apa, perbetulkanlah niat. sesungguhnya semua ini hanyalah milikMu ya Allah.. 

status: berjuang untuk paper yg seterusnya. Ganbatte! InsyaAllah. 





Tuesday, November 2, 2010

Berhentilah Menanti Hari Itu...


"Ya Allah, ini adalah perginya malamMu dan datangnya siangMu. Suara permohonan kepadaMu, maka ampunilah aku..." [petikan awal doa rabitah waktu pagi.]

Udara subuh tadi sangat dingin. Sementelah hujan turun secara rutin selama beberapa hari ini & matahari pun seakan malu untuk menyimbahkan cahaya ke bumi Minden ini.

MasyaAllah... aku sangat rindukan rumah. Rindu pada ibu, ayah, oyen & semua yang ada di rumah. Kerinduan itu bertambah menekan tatkala diri ini dihambat sepi ditinggalkan keseorangan. Bilik jiran kiri, kanan dan hadapan nampak suram & gelap tanpa cahaya neon menandakan tiada penghuni. 

Namun, alhamdulillah... kesepian ini telah mengajarku pelajaran yang lebih baik & langsung tak pernah ku terfikirkan. Maka haruslah aku sedari bahawa kesepian, kesunyian, kesuraman tatkala ditinggalkan keseorangan di alam barzakh itu lebih dahsyat & perit berganda-ganda dari yang akalku boleh bayangkan.

Sesungguhnya, cukuplah mati itu sebagai peringatan untuk menyedarkan diri & mengekang nafsu untuk berbuat jahat, jika kita adalah orang-orang yang berfikir.

Mati itu adalah dahsyat, ngeri, tersangat sakit, derita, menakutkan, mengazabkan. Tetapi, hakikatnya hal itu adalah pasti.

Mati itu pasti akan kita hadapi. 

Harus kita ketahui, sedangkan baginda rasul saw yang paling dicintai Allah dan para malaikat termasuk sang izrail itu juga menderita sakit saat menghadapi sakaratul maut. Walhal, malaikat izrail telah menggunakan cara yang paling lembut untuk 'menjemput' baginda. Itu Rasulullah saw.

Maka, dapatkah kita bayangkan, atau terfikir, apatah lagi bagi insan yang penuh berlumur dosa seperti kita ini menghadapi saat-saat kematian kita? 

Astaghfirullah hal adzhim... tidak mungkin akan dapat tergambar di fikiran, bagaimanakah agaknya rupa paras malaikat izrail yang akan datang menjemput kelak; maniskah, hodohkah, dahsyatkah, ngerikah, atau sangat menakutkankah?

Sesungguhnya, semua itu tergantunglah pada iman & taqwa kita. Itulah yang bakal menentu mana penghujung kita; samada penghujung yang husnul khotimah atau sebaliknya.

Telah dibentangkan padamu pilihan jalan-jalan yang jelas & nyata, maka buatlah pertimbangan yang baik, sesungguhnya Allah tidak akan & tidak pernah menzalimi hambaNya bahkan kitalah yang menzalimi diri kita sendiri. 

Kita sendiri yang mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. 
Kita.

Renungilah sabda baginda rasulullah saw ini;
"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh & mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat buat selama-lamanya; itulah Al-Quran & sunnahku."

Hidup ini ibarat meniti titian yang rapuh jika kiranya kita hidup tiada berpedoman, tiada berpegangan, tiada aqidah yang dipasakkan ke bumi jiwa untuk menuntun diri untuk melalui jalan kehidupan. 

Apalah maknanya hidup ini jika langsung tiada rasa terhadap Allah, rasul & islam...?

Lambakan kes-kes keruntuhan moral, sosial, atau akhlak hari ini sebenarnya adalah berpunca daripada lemahnya iman dalam diri, goyahnya aqidah pegangan diri. 

Bukan kalimah syahadah yang menjadi pasak hati tetapi diri terumbang-ambing mengikut telunjuk syaitan, nafsu, si kafir, si munafik & mengikut hati kita yang hitam itu sendiri.

Apalagi jenayah yang tidak pernah ditulis di dada akhbar kita hari ini? 

Bunuh, bakar, kerat, tanam, rogol, zina, sembelih, tikam, ragut, rempit, buang anak, buang bapa, buang ibu... apa lagi yang tidak ada? Apa?

Bayangkanlah betapa rendahnya moral remaja kita hinggakan budak hingusan 12 tahun pun sudah pandai berzina. Itupun dengan 3 lelaki bukan mahramnya sekaligus! [berita di klik sini.] Itu cerita remaja kita. Apa pula halnya dengan cadangan kerajaan untuk menjadikan malaysia sebagai hub hiburan dengan membina lebih banyak spa & kelab malam? alasannya untuk menjana ekonomi. [berita di klik sini. Ikuti ulasan ustaz hasrizal di sini. Ikuti ulasan UZAR di sini.]

Mungkin sahaja berita ini dapat menyejukkan sedikit gusar hati. Namun, apa saja boleh terjadi jika sifat tamak menguasai diri.

Astaghfirullah hal adzhim... aduhai negaraku. 
Apa sudah jadi? 
Apa mahu jadi? 
Apa yang bakal terjadi...? 


Renungilah firman Allah ini;

Ertinya: Siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepadaNya & menghilangkan semua kesusahan & menjadikan kamu khalifah di bumi? Apakah di samping Allah ada Tuhan yang lain? Amat sedikitlah kamu mengingatiNya. [An-Naml: 62]

Sesungguhnya, seperti yang dikatakan di atas tadi, hidup ini harus berpegang pada syahadah, aqidah, islam. Berpeganglah pada tali Allah. Berpeganglah pada pesanan rasulullah saw. Peganglah syariat islam melalui Al-Quran & sunnah. 

Tidak guna pandai, cantik, berkarisma, kaya, bijak, berpandangan jauh, bermisi-visi, brilliant, magnificent, semua itu tidak guna langsung jika kita tiada beragama. Kita sepatutnya adalah khalifah yang membawa nama agama.

Ya, mungkin kita akan terasa, terluka jika dikatakan tidak beragama.  

"Hei, apahal kamu kata perkataan 'tak beragama'?"

Kita, oh kita semua... jangan jadi sombong bodoh dengan mengatakan "Aku islam. ya aku Islam.."

Jika non-muslim bertanya pada kita apa itu islam, siapa itu islam, mana orang islam... mampukah kita menjawab; 

"Akulah islam itu. Kamu boleh lihat islam itu dalam diriku. Kalau kamu nak tahu islam itu bagaimana, tengoklah diriku." 

Bolehkah kita menjawab begitu?  

Kitakah islam itu? 

Kata imam Al-Ghazali, andaikata kita mahu melihat kekuatan islam di sesuatu negara itu, lihatlah pada remajanya yang mana bakal pemimpin negara itu kelak.

Lihatlah keimanan & ketakwaan remaja negara itu yang mana menjadikan islam itu ad-din suatu cara kehidupan.

Bukankah kini, kita tidak lagi menjadikan islam sebagai cara hidup?

Bahkan kehidupan kita tidak lain hanyalah hiburan, hiburan, hiburan. Buka tv, program anak-anak kecil sampailah yang sudah berusia semuanya melibatkan hiburan. 

Hiburan, suka-suka, menari, menyanyi, berlakon, gelak-gelak, tepuk tampar. 

Samada kita sedar atau pun tidak, Inilah cara hidup kita sekarang. 


Sampai bila kita mahu memenuhi hidup kita dengan hiburan? Sampai bila? 

Sudah cukup bersediakah kita untuk menghadapi kemurkaan Allah?

Tidakkah kita ini terlalu bodoh? Kita ini pekak, tuli, buta & cacat mental kah? 

Tidakkah kita membaca, melihat, mendengar, serta berdiskusi tentang terlalu banyak amaran daripada Allah swt?

Begitu banyak bala yang Allah timpakan di negara-negara kejiranan kitaBencana alam bertimpa-timpa, wabak penyakit silih berganti. Tidakkah kita menggunakan akal kita untuk berfikir & mentafsir? Lantas, mengapa kita tidak mahu kembali bertaubat, memohon keampunan Allah serta kembali kepadaNya? 

Persoalannya; tidak takutkah kita kepada Allah?

Mari kita hayati & mengkaji tafsir Surah Ibrahim dari ayat 27-30;


Ertinya: Allah menetapkan pendirian orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.

Ertinya: Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukarkan nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?

Ertinya: (Iaitu) ke dalam neraka Jahannam yang mereka akan menderita dalam bakarannya; dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah neraka Jahannam.


--------------------------



Ada satu riwayat menceritakan sahabat nabi saw; Anas bin Malik r.a jatuh pengsan saat membaca satu surah di dalam Al-Quran kerana begitu takutkan Allah.


Bagaimana pula dengan kita sahabat-sahabat? Apa perasaan anda saat matamu menatap bait-bait tafsir surah Ibrahim di atas?

InsyaAllah, ini analogi mudah. Bayangkan, kita punyai satu rumah banglo yang besar, indah, dipenuhi perabot-perabot mahal, infrastuktur semuanya hebat. Lalu, kita tumpangkan rumah itu kepada beberapa manusia untuk menginap di situ dengan percuma. 


Pertamanya, manusia-manusia tak tahu malu itu langsung tidak berterima kasih pada kita sebagai tuan rumah. Keduanya, mereka merosakkan perabot-perabot mahal kita. Ketiganya, mereka menyepahkan kawasan rumah & berbuat kerosakan. Keempatnya mereka  membuat maksiat terang-terangan di hadapan kita. Sangat bersahaja dan tidak ada malu langsung pada kita sebagai tuan rumah. Sudahlah duduk percuma, buat banyak hal pula. 

Agak-agaknya, apakah yang kita rasa kala itu?   

Itulah yang kita sedang buat wahai teman-temanku. Itulah kita. Kita hamba. Duduk menumpang di bumi Allah ini. Sudahlah Allah bagi udara, makan, pakai, tempat tinggal, cukup sifat pancaindera, namun kita masih bermuka tembok melakukan kemungkaran & enggan bersyukur dengan rahmatNya itu. 

Tidak sedarkah kita bahawa Allah itu terlalu Pengasih & Penyayang terhadap kita? Kita gunakan rezeki & nikmat ini untuk bermaksiat, melakukan kemungkaran, tetapi Allah tidak menjadikan kita buta walau kita gunakan mata ini untuk berzina. 

Allah tidak pekakkan telinga ini walau kita gunakan ia untuk bermaksiat. Tangan, kaki kita tidak kudung walau kita gunakan anggota tersebut untuk mencuri, berjudi & melakukan kemaksiatan.

Wahai kita semua...

Janganlah kita berani-berani mencabar kekuasaan Allah.  

Jangan sampai Allah mengarahkan sang air untuk membasuh bumiNya ini yang telah kita kotorkan dengan najis-najis dosa & maksiat kita.  

Jangan sampai Allah gunakan api untuk membinasakan kita kerana kejahilan & kezaliman kita.  

Jangan sampai Allah gunakan angin untuk memutar beliungkan semua kejijikan & kebiadapan kita. 
 
Jangan sampai Allah mengarahkan malaikatNya untuk menterbalikkan negara kita ini ke dasar bumi kerana murka dengan kederhakaan kita.

Jangan kita lupa wahai saudara saudariku...
Air, Api, Angin & Malaikat itu adalah hamba Allah yang sangat setia. Mereka akan terus melakukan perintah Allah  jika Allah mengarahkan demikian.

Hanya kita sahaja hamba yang jahat, zalim, bodoh, jahil, kejam, sombong. Percayalah, kita sedang menzalimi diri kita sendiri dengan membelakangi perintah Allah. 

Berubahlah, dan kembalilah ke jalan yang benar. Kita ini hanya manusia, takkan tertanggung oleh kita akan kehebatan kekuasaan Allah. 

Takkan tertanggung oleh kita kemurkaan Allah..

Wahai aku, kamu & kita semua, marilah kita sama-sama bermuhasabah kembali. 

Mana letaknya kita kala ini di mata Allah? Lalu, di mana pula kita letakkan posisi Allah dalam hati kita? 
Bawah dari kedudukan kekasih haram kitakah? 

Jika kita tidak mampu untuk menangis kerana takutkan Allah, maka menangislah kerana ketidak berdayaan itu. Malulah kita kerana ketidak upayaan kita itu. Malulah kita pada diri sendiri! 

Sedangkan rasulullah saw yang dikatakan kalis dosa [maksum] itu pun sampai bengkak kakinya kerana bertahajjud memohon keampunan Allah. Baginda menangis sepanjang malam kerana takutkan Allah. Inikan pula kita sebagai umat akhir zaman. Apa pula ceritanya kita ini?



-------------------------


Kembalilah kepada Allah. Kembalilah kepada posisi sebenar kita sebagai hambaNya. Kembalilah bertaubat & menyesali dosa-dosa yang telah, sedang & akan dilakukan. Kembalilah kepada Islam yang sebenar-sebenarnya. Bukan sekadar status agama pada kad pengenalan.

Tegakkanlah 6 rukun iman, 5 rukun islam, hayatilah semula makna iman & islam. Kenalilah semula diri kita kerana kata imam Al-Ghazali, "manusia itu hanya akan mengenali Tuhannya apabila dia mengenali dirinya." 

Kenalilah asal usul kita & kukuhkanlah kembali pegangan kita, aqidah kita. Aku linkkan tazkirah dari akhi hilal asyraf di sini. 


Perbanyakkanlah membaca Al-Quran & mentadabbur tafsir surah-surah yang kita baca itu. Buat permulaannya; apakata kita mulakan dengan membaca & bertadabbur surah Al-mu'minun? InsyaAllah, cukup untuk menyedarkan kembali diri yang sering terlalai dan terleka ini.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita & menyelamatkan kita dari azab seksa balaNya di dunia, azab seksa di alam barzakh serta menjauhi kita dari azab seksa nerakaNya yang tidak terperi sakitnya. 

Janganlah sekadar menanti hari kemurkaan itu tanpa berbuat apa-apa. 

Sesungguhnya, hari kembalinya kita kepada Allah itu boleh jadi hari yang sangat indah mahupun hari yang paling mengerikan.

Allahu 'alam.  






p/s: Tulisan ini ku tujukan pertamanya buat diriku sendiri sbg peringatan juga buat semua pembaca sekalian. Rahmat Allah bagi kalian. Mudah2an. 


Hari peperiksaan semakin hampir. Doakan kejayaanku dunia & akhirat. insyaAllah.