Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Thursday, May 20, 2010

Kisah Di Syurga.


Firman Allah;
‘Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan diredhaiNya. Maka, masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu...'
[Al-Fajr: 27-30]


Secebis Kisah Kenikmatan Syurga

Sesungguhnya di dalam syurga itu berupa sesuatu yang belum pernah di lihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah terlintas oleh hati manusia. Ahli syurga bagaikan raja bersenang-lenang dengan penuh kenikmatan sedangkan umur mereka seusia dengan putera.

Usia mereka kekal selamanya 33 tahun yakni seusia ketika nabi Isa AS di angkat ke langit, manakala tinggi mereka pula setinggi nabi Adam AS yakni setinggi 60 hasta dan dalamnya lintang 7 hasta. Mereka sangat kacak dan suara mereka sangat merdu. Mata mereka seakan bercelak, putih kulitnya, tiada berbulu badannya kecuali di kepala (kerinting rambutnya), alis dan kelopak mata. Sedang janggut, misai, ketiak dan kemaluan licin tidak berbulu. Mereka tidak kencing dan tidak buang air besar, tidak berludah dan tidak berhingus dan peluh mereka berbau kasturi.

Bejana mereka dari emas dan perak, sisir rambut mereka dari emas, kayu bakar mereka dari kayu gahru yang harum (kayu kemenyan). Mereka sentiasa merasa aman dari azab. Hati mereka sentiasa bersatu dan tidak pernah berselisih dan benci membenci antara sesama mereka.

Mereka diberi pakaian dari sutera halus yang hijau dan tebal lagi tidak akan reput atau lusuh. Di kepala mereka ada mahkota yang dapat menerangi antara timur dan barat. Mereka juga diberi pakai 70 macam perhiasan yang berubah warnanya setiap jam, berbeza warna dengan perhiasan yang lain, sedang jari-jari mereka ada sepuluh cincin, terukir pada yang;

1. Salam alaikum bima shobartum (Selamat sejahtera kamu kerana kesabaran kamu)
2. Ud khuluha bisalamin aminin (Masuklah ke syurga dengan selamat dan aman)
3. Tilkal janatullati urits tumu ha bima kuntum ta'malun (Itulah syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu)
4. Rufi'at ankumul ahzana wal humum (Telah dihindarkan dari kamu semua risau dan dukacita)
5. Albasakum alhuli wal hulal (Kami berimu pakaian dan perhiasan)
6. Zawwa jakum ul hurul iin (Kami kahwinkan kamu dengan bidadari)
7. Walakum fihamatasy tahihil anfusu wa taladzzul a'yun wa antum fiha khalidun (Untuk mu dalam syurga segala keinginan dan menyenangkan pandangan matamu)
8. Rafaq tumunnabiyina wassiddiqin (Kamu telah berkumpul dengan para Nabi dan Siddiqin)
9. Shirtum syababa laa tahromun (Kamu menjadi muda dan tidak tua selamanya)
10. Sakantum fi jiwari man laa yu'dzil jiran (Kamu tinggal dengan tetangga yang tidak mengganggu tetangganya)

Penglihatan mereka dilapangkan sehingga ia memandang yang jauh-jauh seperti memandangnya dari jarak dekat. Penghabisan orang yang masuk syurga dan paling rendah kedudukannya, diberi kerajaan sepanjang penglihatannya, serupa dengan jarak 100 tahun perjalanan. Dan didirikan bagi mereka kubah dari mutiara, zabarjat dan yakut. Lebarnya seperti antara Al-Jabiyah ke Sana'a.

Setiap pagi dan petang mereka diberi makan dengan 70,000 piring dari emas, sedangkan warna pada setiap piring tidak sama, sedang rasa makanan pada tiap suapan tidak sama, ditemukan rasa makanan pada suapan yang pertama sama rasanya dengan rasa pada suapan terakhir.

Terdapat 70,000 kampung yang terdiri dari mutiara dan yakut. Setiap kampung ada 70,000 rumah sedangkan rumah-rumah itu tidak satu pecah atau rosak. Sebahagian bangunan di syurga diperbuat dari jalinan bata dari emas dan bata dari perak. Bumi syurga dari perak, dan tanahnya dari misik atau za'faran, debu lantainya dari kasturi yang semerbak harum, dan kerikilnya mutiara serta yakut dan urat-urat pohonnya dari perak, sedang dahannya dari mutiara dan zabarjad, daun dan buahnya berada di bawah, maka seseorang tidak menghadapi kesukaran untuk makan walaupun dalam keadaan berdiri, duduk ataupun baring.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Allah SWT telah menciptakan wajah-wajah bidadari terdiri dari 4 warna; putih, hijau, kuning dan merah. Dan tubuhnya diciptakan dari za'faran, misik dan kafur. Dan rambutnya diciptakan dari cengkeh. Bahagian tubuhnya mulai dari kaki sampai lutut tercipta dari za'faran. Dari lutut sampai buah dada tercipta dari anbar. Dari leher sampai kepala tercipta dari kafur. Andaikata meludah ke dunia, maka ludahnya akan menjelma menjadi misik. Pada setiap dadanya tertulis nama suaminya dan nama dari nama-nama Allah SWT. Pada setiap tangannya mengenakan 10 gelang dari emas, memakai cincin sebanyak 10 pada jari-jarinya, memakai 10 perhiasan gelang kaki dari mutiara dan permata."

Sekurang-kurangnya penduduk syurga itu memiliki 80,000 pelayan dan dikahwinkan dengan 72 isteri (bidadari). Mereka diberi kekuatan 100 orang ketika makan, minum dan senggama. Dicipta bidadari secara langsung oleh Allah SWT dan bukan melalui proses kelahiran.

Kejelitaan digambarkan seakan-akan bidadari itu permata yakut dan marjan. Yang sentiasa dara lagi sebaya umurnya, cantik, manja, rindu dan amat mencintai suaminya. Yang suci dari sebarang kotoran, haid, nifas, kencing dan air mani. Sopan menundukkan pandangan, tidak pernah disentuh oleh mana-mana jin atau manusia sebelum mereka. Sangat putih kulitnya. Bermata jeli, anak mata hitam pekat bagaikan mata bayi yang baru dilahirkan, bahkan lebih jernih dan lebih becahaya. Lebar matanya disertai bulu mata bagaikan sayap burung yang sedang terbang. Mempunyai betis yang tembus, yang sangat indah mata melihat sehingga boleh terlihat sumsum betis dari belakang dagingnya.

Mempunyai kelembutan seperti lembutnya selaput telur di dalam telur yang melekat di kulit luar. Dikurniakan Allah SWT cahaya pada wajah seperti bulan purnama. Cahaya serta bau harum semerbak pada tubuh mereka dapat memenuhi dunia antara langit dan bumi. Sedangkan tutup kepala bidadari itu lebih baik dari dunia dan seisinya.

Terdapat khemah-khemah yang mengandungi berpuluh-puluh bilik dari mutiara yang berlubang. Ada bilik yang bagaikan taman yang luas yang dipenuhi pohon-pohon palma dan di kelilingi sungai yang mengalir, yang tepiannya dilitupi oleh bunga mawar, melati dan lain-lain bunga yang tumbuh dari lembah. Ketika angin meniup taman bunga ini, seluruh taman dipenuhi bau harum semerbak. Di dalam bilik ada ruangan luas yang diperbuat dari kayu cendana dan pokok gaharu serta dilapisi dengan segala macam marmar berwarna.

Berterbangan burung-burung seperti burung bul-bul, murai atau merpati yang pandai menyanyi. Setiap bilik dihiasi dengan perhiasan dari zamrud, batu merah, batu delima merah jingga, serta emas dan perak. Di dalam bilik yang sebegini indah inilah tempat tinggalnya bidadari itu. Mereka menantikan kedatangan suami mereka dengan menyanyikan lagu-lagu rindu bagaikan orang yang sedang mabuk cinta. Setiap kali mereka menyenandungkan lagu-lagu pujaan yang menyebut-nyebut suami mereka setiap itu pula bangkit nafsu kecemburuan mereka.

Hadis riwayat At-Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda:
"Di sediakan tempat untuk berkumpulnya para bidadari, dan di sana mereka beryanyi semerdu suara yang belum pernah didengar oleh manusia suara semerdu itu. Kamilah yang kekal dan tak akan rosak (berubah), kamilah selalu senang tak pernah susah, kamilah yang puas rela tak akan marah, sungguh bahagia orang yang untuk kami dan kami untuknya."

Ketika mereka yakni suami bidadari melintasi kawasan perkemahan di mana para bidadari berkumpul, maka para bidadari akan menyambut kedatangan suami mereka dengan sepenuh jiwa dan raga mereka kepadanya. Para bidadari akan melayan sepenuhnya keinginan suaminya, bahkan menggoda supaya suaminya terus bermesra dengannya.

Para bidadari sentiasa inginkan kehidupan di atas tilam-tilam sutera yang lembut, dengan cadar yang berilau-kilauan, sentiasa berpegangan erat tangan suaminya. Hubungan senggama bersama bidadari adalah hubungan kenikmatan tanpa sebarang keletihan, peluh mahupun kotoran berupa air mani. Seorang suami boleh menggauli 100 bidadari dalam sehari.

Bagi mereka yang menduduki syurga 'Adn, mereka akan menduduki istana-istana yang diperbuat daripada mutiara. Di dalam setiap istana terdapat 70 buah rumah dari permata yakut merah. Di dalam setiap rumah terdapat 70 buah bilik dari zamrut hijau. Di dalam setiap bilik terdapat ranjang. Setiap ranjang terdapat 70 permaidani dalam pelbagai warna, dan setiap permaidani terdapat seorang bidadari. Mereka akan diberi hiasan gelang dari emas, berpakaian hijau dari sutera yang bersulam benang emas.

Ahli syurga akan lupa akan segala kenikmatan yang mereka alami di dalam syurga apabila mereka dihimpunkan dalam satu majlis yang agung. Majlis ini adalah kemuncak bagi segala kenikmatan bagi penduduk syurga kerana di dalam majlis ini, mereka dapat mendengar dengan sendiri kalimat dari Allah SWT, dapat melihat Zat Allah SWT, dapat redha dari Allah SWT dan dapat pengisytiharan yang mereka akan hidup kekal selamanya di dalam syurga oleh Allah SWT.

Wallahu 'alam.





p/s: Coretan ini ku kutip dari blog-walking. Lama tersimpan dalam folder, ku sisipkan di sini buat perkongsian. Marilah sama-sama mantapkan iman dan menuju ke dalam keredhaan Allah..



Pesanan 4 Sayyidina.


Salam warahmatullah,
Dalam entri ini kukongsikan pesanan 4 orang khalifah Ar-Rasyidin. Moga beroleh manfaat.

A. SAYIDINA ABU BAKAR AS SIDDIQ

Khalifah ur Rasyidin yang pertama dan Sahabat utama Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar As Siddiq pernah meninggalkan pesan, katanya:

1. Siapa yang memasuki kubur dengan tidak membawa bekalan samalah seperti orang yang belayar di lautan dengan tidak berperahu.

2. Kegelapan itu ada lima perkara dan penerangnya juga ada lima perkara iaitu:


a. Cinta dunia itu kegelapan dan penerangnya adalah taqwa.
b. Dosa itu kegelapan dan penerangnya adalah taubat.
c. Akhirat itu kegelapan, penerangnya adalahamal soleh.
d. Kubur itu kegelapan, penerangnya adalah kalimah ‘La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah.’
e. Siratul Mustaqim itu kegelapan, penerangnya adalah yakin.

3. Sesungguhnya iblis itu berdiri di hadapanmu, nafsu di sebelah kananmu, dunia di belakangmu, anggota di sekelilingmu dan Allah juga bersamamu. Iblis yang dilaknat menyuruhmu meninggalkan agama. Nafsu menyuruhmu berbuat maksiat. Keinginan hawa nafsu menyerumu ke arah syahwat. Dunia menyeru supaya memilihnya daripada Akhirat. Anggotamu menyerumu berbuat dosa. Allah menyerumu ke Syurga dan keampunan-Nya.

Siapa yang menyahut seruan iblis terkeluarlah agamanya. Siapa yang menyahut seruan nafsu terkeluar rohnya (roh kemanusiaan). Siapa yang menyahut seruan syahwat, terkeluar akalnya. Siapa yang menyahut seruan anggota, terkeluarlah Syurganya. Siapa yang menyahut seruan Allah, terkeluarlah kejahatannya dan memperolehi segala kebaikan.

4. Sayidina Abu Bakar berkata: Terdapat lapan perkara yang menjadi perhiasan kepada lapan perkara:


–Menjaga perkara yang haram, perhiasan kepada fakir.
–Syukur perhiasan kepada nikmat
–Sabar perhiasan kepada bala.
–Tawaduk perhiasan kepada kemuliaan.
–Berlemah lembut perhiasan kepada ilmu.
–Merendah diri perhiasan kepada orang yang bercakap.
–Meninggalkan riyak perhiasan kepada kebaikan.
–Khusyuk perhiasan kepada sembahyang.

5. Sesungguhnya hamba itu apabila datang ujub dengan sesuatu dari perhiasan dunia nescaya Allah memurkainyahingga dia menceraikan perhiasan itu.

6. Moga-moga aku jadi pokok kayu dicantas kemudian dimakan.

7. Dia berkata kepada para Sahabat: Sesungguhnya aku telah mengendalikan urusan kamu, tetapi bukanlah aku ini orang yang paling baik di kalangan kamu maka tolonglah aku, kalau aku berlaku lurus maka ikutilah aku tetapi kalau aku menyeleweng betulkan aku.


B. SAYIDINA UMAR AL KHATTAB

1. Khalifah kedua, Sayidina Umar berpesan:


– Siapa yang menjaga percakapannya dianugerahkan kepadanya hikmah.
– Siapa yang menjaga penglihatannya dianugerahkan kepadanya hati yang khusyuk.
– Siapa yang menjaga makanannya dianugerahkan kepadanya kelazatan dalam beribadah.
– Siapa yang bersabar di atas ujian, Allah sempurnakan sabarnya lalu memasukkannya ke dalam Syurga mana yang dia suka.
– Siapa yang menjaga daripada ketawa dianugerahkan kepadanya kehebatan.
– Siapa yang menjaga daripada bergurau dianugerahkan kepadanya keelokan atau kemuliaan.
– Siapa yang meninggalkan cinta dunia dianugerahkan kepadanya dapat melihat kesalahan sendiri.
– Siapa yang meninggalkan kesibukan mencari kesalahan pada perbuatan Allah, dianugerahkan kepadanya pelepasan daripada nifak.

2. Jika tidaklah kerana takut dihisab sesungguhnya aku perintahkan kamu membawa seekor kambing untuk dipanggang di depan pembakar roti ini.


3. Siapa takut kepada Allah SWT, nescaya marahnya tidakdapat dilihat. Dan siapa takutkan Allah, kehendaknya akan ditunaikan.

4. Wahai Tuhan, jangan Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di tanganku.

5. Termaktub dalam sepucuk surat khalifah Umar kepada Abu Musa Al Asyaari: “Milikilah sifat sabar. Sifat sabar itu ada dua. Sabar yang pertama lebih afdhal dari sabar yang kedua iaitu sabar dalam meninggalkan larangan Allah SWT dan sabar dalam menghadapi musibah. Ketahuilah bahawa sabar itu sangkutan iman (orang yang bersabar akan mendapat iman) kerana kebajikan yang paling utama adalah taqwa dan taqwa hanya dapat dicapai dengan sabar.”


C. SAYIDINA USMAN IBNU AFFAN R.A.

Mari kita lihat pula kata-kata hikmah daripada khalifah ketiga, Sayidina Usman Ibnu Affan r.a. Di antaranya:

1. Aku mendapat kemanisan ibadah dalam empat perkara:


a. Sewaktu menunaikan apa yang difardhukan Allah.
b. Meninggalkan apa-apa yang Allah haramkan.
c. Ketika menyeru kepada kebaikan.
d. Ketika mencegah kemungkaran dan menjaga diri daripada membuat perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah.

2. Katanya lagi: Empat perkara yang pada zahirnya fadhilat dan pada batinnya wajib:


a. Bergaul dengan orang soleh itu fadhilat, mengikut amalan mereka itu wajib.
b. Membaca Al Quran itu fadhilat, beramal dengannya itu wajib.
c. Menziarahi kubur itu fadhilat, bersedia untuknya itu wajib.
d. Menziarahi orang sakit itu fadhilat, menunaikan wasiat itu wajib.

3. Pesanannya: Antara tanda-tanda ‘arifin itu ialah:


a. Hatinya berserta takut dan harap.
b. Lidahnya bertahmid dan memuji Allah.
c. Matanya berserta malu melihat perkara yang dilarang dan banyak menangis.
d. Kehendaknya bersih dari cinta dunia dan bertujuan menuntut keredhaan Allah.


D. SAYIDINA ALI ABU TALIB K.W.

Khalifah keempat, Sayidina Ali k.w. berkata:

1. Ilmu itu sebaik-baik pusaka. Adab itu sebaik-baik sifat. Taqwa itu sebaik-baik bekalan. Ibadah itu sebaik-baik barang perniagaan.

2. Siapa yang tinggalkan dunia, dikasihi oleh Allah. Siapa yang tinggalkan dosa, dikasihi oleh malaikat. Siapa tinggalkan tamak, dikasihi oleh orang-orang Islam.

3. Siapa yang tidak ada padanya sunnah Allah, sunnah Rasul dan sunnah wali-Nya, maka tiadalah apa-apa kebaikan padanya.


Ditanya orang pada Sayidina Ali k.w., “Apakah sunnah Allah?”
Sayidina Ali menjawab, “Menyembunyikan rahsia (misalnya menutup aib orang lain).”
Ditanya lagi, “Apakah pula sunnah Rasulullah?”
Sayidina Ali berkata, “Berlemah lembut dengan sesama manusia.”
Ditanya lagi, “Apakah pula sunnah wali-Nya?”
Sayidina Ali menjawab, “(Sabar dalam) menanggung penderitaan.”


4. Susah sekali melakukan kebaikan pada empat tempat: – Memberi maaf ketika marah.– Bersedekah ketika kesempitan.– Menjauhi perkara haram ketika seorang diri. – Berkata benar kepada orang yang ditakuti atau orang yang selalu menolong.

5. Memadai aku merasa mulia bahawa Engkau Tuhan bagiku dan memadailah aku merasa bangga bahawa aku menjadi hamba-Mu. Engkau yang aku cintai maka berilah aku taufik (agar dapat melakukan perkara-perkara yang Engkau cintai).

6. Hendaklah kamu lebih mengambil berat bagi diterima amalamal kamu daripada beramal. Sesungguhnya sangat besar nilainya amalan yang disertai taqwa dan betapa lagi kalau amalan itu diterima.

7. Janganlah mengharap seorang hamba itu melainkan Tuhannya dan janganlah dia takut melainkan dosanya.

8. Tiada kebaikan ibadah tanpa ilmu dan tiada kebaikan ilmu tanpa faham dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tiada perhatian.

9. Dasar kekafiran itu dikelilingi oleh empat tiang iaitu kasar hati, buta fikiran, lalai dan prasangka.

10. Orang berhati kasar akan menghina kebenaran, menunjukkan kejahatan dan mengutuk orang-orang pandai.

11. Buta hati akan lupa zikrullah.

12. Orang yang syak wasangka akan tertipu oleh angan-angan. Sampai masanya dia ditimpa kecewa dan sesal tidak berhujung kerana diperlihatkan Allah hal-hal yang selama ini tidak dikiranya.

Wallahu 'alam..

Friday, May 14, 2010

Lihatlah Kepada Yunus


Salam warahmatullah..

Saya suka akan kisah Nabi Yunus a.s. Dia merupakan seorang nabi yang diutuskan kepada kaum di Ninawa. Dia berdakwah dan menyeru agar kaumnya kembali kepada Allah SWT.

Dia diuji oleh Allah SWT dengan kedegilan kaumnya. Sampai satu tahap, dia tidak mampu bersabar lantas meninggalkan tugasannya sebagai Rasul Allah SWT. Dia menuding jari kepada kaumnya yang degil, menyalahkan mereka kerana tidak menerima dakwahnya.
Firman Allah SWT;
"Ketika dia (yakni Nabi Yunus) pergi dalam keadaan yang marah..." [Al-Anbiya: 87]


Allah mereformasikan Rasul-Nya


Manusia, ada kelemahannya. Namun, kelemahan rasul dan nabi, tidak berkait dengan dosa besar. Hal ini kerana, itu akan menjadi kelemahan kepada dakwahnya. Sebab itu Allah SWT menjadikan mereka maksum. Tetapi, Allah mengutuskan rasul dari kalangan manusia bukan dari kalangan malaikat adalah untuk manusia mengambil pengajaran daripada mereka.

Maka, dalam kisah Nabi Yunus a.s, Allah telah mereformasikan diri Rasul-Nya itu. Kesilapan Nabi Yunus a.s meninggalkan dakwahnya dengan terburu-buru, tidak dibiarkan Allah SWT begitu sahaja.

Ketika Nabi Yunus menaiki kapal untuk menjauhi Ninawa, berlaku ribut yang mampu membuatkan kapal tenggelam. Mereka membuat undian, dan Allah menjadikan Nabi Yunus sebagai orang yang dilontarkan ke laut. Sebaik sahaja dilontar, Allah SWT terus menghantar ikan Nun (paus) untuk menelan lelaki itu.



Dia Menuding Pada Dirinya


Bagi sesiapa yang mempelajari subjek Sains, dia akan mengetahui bahwa paus adalah sejenis mamalia. Sesiapa yang ditelan paus, maka dia akan kesesakan nafas di dalmnya. Di dalam perut paus juga ada asid yang 12 kali lebih kuat daripada asid perut manusia. Nabi Yunus, di dalam perut ikan paus yang dahsyat ini.

Adakah dia mengutuk Allah SWT atau nasibnya? Adakah dia memarahi kaumnya atas musibah yang menimpanya? Adakah dia membenci ahli kapal yang melontarnya? Tidak. Dia tidak menuding jari kepada sesiapa. Sebaik sahaja dia berada di dalam kegelapan itu, dia menyedari silapnya dan pantas berdoa;
"Tiada Tuhan melainkan Kau (ya Allah), Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim (yakni zalim terhadap diri sendiri, kerana berputus asa)." [Al-Anbiya': 87].

Ya, dia menuding pada dirinya.



Jawapan Allah


Allah serta-merta mengarahkan ikan paus itu ke laut dan memuntahkan Nabi Yunus a.s, sebelum sempata asid di dalam perut ikan paus itu merosakkan tubuhnya. Sebelum Nabi Yunus tercekik dan sesak nafas di dalamnya. Maka, apakah jawapan Allah SWT?
"Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingati Allah, nescaya dia tetap akan tinggal di dalam perut ikan itu sampai hari berbangkit." [As-Shaffaat:143-144]

Allah melepaskan Nabi Yunus a.s, selepas itu menjayakan pula dakwahnya selepas nabi itu kembali kepada kaumnya, hanya selepas Nabi Yunus a.s mereformasikan dirinya. Hanya selepas nabiNya itu tertingkat bawah tarbiyahNya. Hanya selepas nabi Yunus itu menyedari silapnya dan melakukan penambahbaikkan terhadap dirinya.



Kita Dan Ikan Paus Kita


Kita juga diuji Allah dengan 'ikan paus'. Ikan paus dunia. di dalam perut ikan paus dunia ini wujud asid2 jahiliyah yang menghancurkan peribadi kita, & merosakkan pemikiran anak2 kita. Kita sering menuding jari pada ikan paus kita. Kita kata televisyen perosak. Kita kata zionis merancang itu dan ini.Kita tunjuk pada dia, kita tunjuk pada si dia yang lain. Kita tuding jari pada itu & ini. Menyalahkan segalanya, semuanya, kecuali kita.
Jangan tuding jari pada orang lain. Itu hanya membuatkan ada 4 jari yang menuding kembali pada kita. Ya, kita.
Kita sepatutnya, pertama sekali, mereformasikan diri kita.



Lihatlah Pada Yunus


Allah hanya melepaskan Nabi Yunus a.s dari perut paus setelah dia menyedari silapnya & bertaubat memperbaiki diri. Jika tidak tentu Allah tidak mahu melepaskannya. Kita juga sama. Kita hanya boleh keluar dari perut 'ikan paus' dunia ini hanya apabila kita berjaya dalam muhasabah diri kita, menyedari salah silap kita serta memperbaiki diri kita. Jika tidak, Allah juga tentu tidak mahu membantu kita. Sesungguhnya pertolongan Allah hanya buat mereka yang berusaha.
"Sesungguhnya Allah itu tidak akan mengubahi nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu berusaha terlebih dahulu, mengubah apa yang ada di dalam dirinya." [Ar-Ra'd:11].

Lihatlah pada Yunus dan ambillah pengajaran. Dia dengan ikan pausnya. Manakala kita pula dengan ikan paus kita..

Wallahu 'alam..

*sumber: ANIS Mei 2010-tulisan akhi Hilal Asyraf.

Saturday, May 8, 2010

Bingkisan Buat Ibuku.




Rasulullah SAW bersabda;
"Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.."



"In jaga diri baik-baik. Jangan tinggal solat. Hati2 lintas jalan. Jangan lupa makan. Jaga diri baik2, Ibu sayang In.."
[pesanan ibu di hujung perbualan telefon.]

Salam warahmatullah..

Kata ibu..
Sewaktu dia seumur aku, dia sudah ada abang longku serta sedang mengandungkan abang ngahku.

Sejak umurnya 20 tahun dia sudah duduk berjauhan dengan ibu bapanya.

Malah, sejak umurnya 15 tahun lagi dia sudah berkerja di Kuala Lumpur sebagai pembantu rumah untuk mengirim duit belanja kepada keluarganya di kampung.


Begitu banyak pahala yang dikumpulnya sewaktu seusiaku.


Aku sungguh kagum dengan ibu..
Sedangkan aku, sewaktu sama umur dengannya..


Masih lagi menangis tatkala masuk ke dalam bas untuk pulang ke kampus.

Masih lagi rindu dengannya walau semalam baru berjumpa.
Masih lagi suka curi-curi memeluk tubuhnya ketika dia memasak.
Masih lagi berair mata tatkala wajahnya terbayang di minda.

Dan genangan air mata itu perlahan-lahan menitis ke pipi.
Bila terkenangkan bagaimana kehidupannya sehari-hari di kejauhan.

Begitulah rendahnya tarafku jika mahu dibandingkan dengan kehidupan ibu suatu masanya..







Ibu & nenek di rumah arwah mak.

Di hadapan ibu,

Aku selalu ketawa,

Suka tergelak,

Suka bergurau dengannya.
Suka bermanja dengannya.


Tetapi bila aku berjauhan dengannya,
Aku selalu merinduinya,
Aku selalu terkenangnya.
Aku selalu mencintainya.
Aku selalu menangis bila namanya ku sebut dalam pohonan doa.

Masih terkenang. Segar di ingatan.

Ada suatu masanya.
Ibu mengalami tekanan yang amat sangat.

Yang mana masalah itu dipendam ke dalam hatinya.
Bertahun-tahun.
Lalu, ibu menangis di tepi pintu.
Aku merapatinya untuk menenangkannya.
Dia memelukku dan menangis di bahuku.

Kata-kata yang dilafazkan dalam tangisnya itu akan tersemat dalam hati ini selamanya.

Lalu aku juga turut menangis walau sebelum itu aku sedaya cuba untuk menahannya.


"Begitu banyak ujian yang melanda ibu..
Moga syurga Allah menjadi balasan buatmu.."
itulah yang kubisikkan dalam hatiku setiap kali terkenang ibu.

Ibu selalu menunaikan kehendakku.

Walau sesibuk mana dia.
Walau seletih mana dia.

Baju kurungku pasti siap juga dijahit.
Nasi bekalku pasti siap dibungkus rapi.
[sangat banyak untuk disenaraikan..]

Setiap kali aku merindui ibu.. dan kerinduan itu tidak dapat tertahan.
Seketika kemudian, deringan telefon mematikan kocakan emosi.

Nama 'IBU' tertera di skrin telefon.
Itulah ajaibnya kasih sayang ibu..
[padahal sebelum itu aku dah berhasrat utk menghubunginya.]

Tapi nampaknya cinta ibu padaku melebihi cintaku padanya...

Aku sangat mencintai ibuku..
Aku ingin buat macam-macam untuk ibu,
Tapi bila kesempatannya tiba,
Selalu saja aku terkandas..

Sesungguhnya, kehendak hatiku selalu terkubur kerana kelalaian & kealpaanku sendiri.







Kenangan konvokesyen sewaktu dulu. Jambangan bunga ini hadiah dari ibu & ayahku.



Aku rasa tidak selesa bila ibu berbicara hal nikah denganku.
Seolah-olah dia ingin segera berpisah denganku.
Sedangkan aku kalau boleh, tidak mahu langsung berpisah dengannya.

Aku tidak sanggup untuk berpisah dengan ibu & ayah..

Namun,

Aku selalu ingatkan hati..

Aku selalu ingatkan diri..
Bahawa ibu takkan selamanya ada di sisiku.
Bahawa suatu masanya kami tetap akan terpisah.
Ibuku itu adalah hak Allah..

Maka aku perlu bersiap sedia..


Aku memastikan,
Akanku ucapkan "I love you" padanya setiap kali sebelum mematikan perbualan telefon.
Untuk tidak mahu ku rasa terkilan di akhir nanti.
Untuk membendung diri dari gila.
Untuk membenteng diri dari tersasar dari landasanNya..
Dan berputus asa pada Tuhan.
Apabila dia sudah dijemput Ilahi nanti..


Buat saat & tika ini..
Aku berharap,
ibu sentiasa sihat, selamat & dirahmati oleh Allah..

Serta diberi keberkatan umur.


Juga..

Tuhanku yang Pengasih & Penyayang, berilah kesempatan..

Aku ingin menunaikan impianku iaitu untuk menunaikan impian ibu.


Juga..

Tuhanku Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang..

Ampunilah semua dosa-dosa ibuku,

Kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihaniku sejak kecil.
Cintailah dia sebagaimana dia mencintaiku semenjak aku lahir.

Berilah balasan syurga padanya..
Kerana melahirkan aku ke duniaMu ini..

Terima kasih ibu.. di atas segala-galanya.
Ampunkan semua dosa-dosa anakmu ini..

Andai tiba satu saatnya Allah menjemputmu pulang..
Ku berdoa agar bertemu semula kita dalam raudhah syurgaNya..
Dan kita dihimpunkan dengan insan2 kesayangan Allah..
Bertemu Allah, RasulNya, para syahid & syahidah..
Bertemu kita semua dalam rahmat & redhaNya..


Oleh itu,
Wahai ibu yang kukasihi..
Izinkan aku masuk ke syurgaNya melalui dirimu..

Selamat Hari Ibu, wahai ibuku yang dicintai Allah..

Firman Allah SWT:
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungkannya dgn menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal kandungan hingga akhir susuannya), dan tempoh menceraikan susunya ialah 2 tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan ingatlah, kepada Aku-lah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." [Surah Luqman: 14]



Dan sungguh, hanya Engkaulah yang Maha Mengetahui segala apa yang ada di langit, di bumi & di antaranya serta segala apa yang ada di dalam hatiku..






p/s: I miss you very much..

Friday, May 7, 2010

Women's Talk


"...kerana cinta adalah sesuatu yang kita semua rasa, alami dan cuba untuk diluahkan baik melalui kata-kata, mahupun perilaku, cuma yang berbeza ialah tujuan dan cara kita bercinta."
[Rezza Khanafiah- Berteduh Di Kebun Cinta]



Salam warahmatullah..


Terkenang kata-kata sahabiah baikku, Umi Adibah. Keinginan untuk Bercinta, Mencinta dan Dicinta itu adalah fitrah insani. Maka, ku usir rasa segan, malu dan rasa yang sebagainya untuk berkongsi lagi di medan ini.

Namun, entri ini bukan sepenuhnya bicara tentang soal jodoh & cerita kosong. Entri ini untuk melakar betapa agungnya sebuah pengertian & pengorbanan dari insan yang harusnya selalu dikenang; iaitu Ibu & ayah..

Bismillahirohmanirrohim..
 
Berbicara soal pernikahan, teman hidup... tiba2 buat aku teringat dengan perbualanku dengan ibu.



"Anak cik Mira tu, dua2 beradik tu dah ada pasangan masing2 In."

Aku sengih. [Tak tahu nak komen apa.]

"Si Intan tu pun dah ada pakwe dah.. Tu yang Cik Mira kata, Intan tu apa pun tak tahu lagi. Macam mana nak kahwin..?" kata ibu sambil tangannya melipat kad jemputan majlis abang ngahku.

"Takpela... dia somei..." komenku. Ibu diam je.

"In pulak?" soalnya. Aku buat2 la check nama jemputan pada guest list yg ayah tulis semalam. Serius, aku lemau bila sampai bab2 ini.

"In nak kahwin bila?" soal ibu lagi bila aku tak menjawab.

"Hehe.. pakwe pun tak cari lagi.." kataku.

"Tula.. dah ada yang nak, in tak nak pulak.." komen ibu.

Dush! kena aku sekali.

"Eish. Takmau la.. Nanti2 la. Lambat lagi.. lagi 6 tahun." kataku bersahaja. Tak serius.

"Berapa la tu umur masa tu?"

"27-28" kataku.

Ibu diam. Kami pun ubah topik lain seketika lepas itu. Tapi sekejap cuma. Lepas tu ibu cerita tentang hal kahwin lagi. (^^')

Kebetulan ramai kawan2ku yang pernah belajar sama sewaktu sekolah rendah sudah ramai yang mendirikan rumah tangga. Mungkin sebab tu topik ini tiba2 jadi favourite untuk didiskusikan.

Oh ibu.. anakmu ini baru nak masuk 22 tahun bulan 9 ni. Belum sempat berbakti pada ibu & ayah pun lagi. Tak sanggup nak fikir hal kahwin sebelum tertunai semua hasrat di hati untuk berbakti pada kalian..

Aku ingatkan ibu terima seadanya jawapan aku tu. Tapi... beberapa ketika lepas tu, Liyana (adik perempuanku) beritahu aku.. rupanya ibu risau bila dengar aku nak kahwin lambat. 27 lambat sangat... kata ibu.

Haish.. [sebenarnya aku risau dgn jwpn tu sbb aku ingat umur tu mgkin terlalu awal bagi ibu.]

Aku berazam untuk memberi sesuatu kepada ibu sebelum syurgaku beralih pada suamiku pula. Itupun kalau panjang umur & diberikanNya kesempatan bagiku.

As the time goes by...


"In.. belajar2 jugak.. jangan lupa cari 'calon'.. bukan senang nak jumpa lelaki yang baik & serasi sekarang ni.." pesan ibu suatu masa dulu.

Ada suatu ketikanya pula.. apabila kami berbual2 di telefon, ada juga ibu tanya tentang kawan2ku.


"Oh.. Z & J dan balik bu.. diorang singgah KL dulu. Lepas tu baru balik rumah." kataku bila ibu tanya perihal kawan2 sekuliahku.
"Macam manalah diorang ke KL tu? siapa nak jemput malam2 tu?" tanya ibu.
"Pakwe Z. Dia ada kereta." jawabku.
"Oh..."

Memang sudah menjadi rutin ibu & ayah. Mereka berdualah yang akan menunggu jika aku pulang ke N9. Walau abang2ku tinggal di seremban, ibu & ayah tetap mahu menjemput aku sendiri. Sanggup mereka berdua tunggu pukul 3-4 pagi di terminal 1 seremban demi menanti ketibaanku. (T T).


Hati ini memang rasa tak sedap kerana asyik susahkan ibu & ayah. Tapi memang sejak dari tingkatan 1 lagi ibu & ayah akan menjemputku pulang ke rumah. Ada sekali saja aku pulang menaiki bas. Itupun sebab ayah tidak sihat untuk memandu sendiri.

Ayah sangat2 memanjakanku & adik2. Bukan tak pernah kami adik beradik [Aku & Liyana] ditegur ahli keluarga yang lain.


"Balik la sendiri naik bas. Kan dah besar.." kata pak ngah.

"Susah in... kesian ibu ayah tunggu pagi2 tu.. duduk sini jek la. Biar kami jemput. Bukan jauh pun.." kata mak sedaraku.


"In tumpang rumah mak uda jek la. Kesian pulak dekat ibu & ayah. Dari pukul 10 dah bertolak semata2 nak jemput kat seremban tu. Bukannya dekat." tegur nenek pula.

Oh... (T T). 
Aku pula yang kena..


Sedangkan ayah pula bertegas.
"Dia anak saya. Biar saya yang bersusah. Tak nak saya susahkan orang lain."
"Dia dah besar tulah nak jaga baik2.. kecik2 dah puas saya jaga dia.."


Ibu pula kata.
"Tak sedap hati ibu nak susahkan sedara2 selalu sangat.. sekali sekala takpe.. Kalau dah selalu tu nanti orang pun jadi tak senang.. Nak harapkan abang2 kamu pun diorang kerja..."

Ok, baiklah. Mendengar jawapan tu hanya mampu buat aku diam saja. Mungkin inilah sebabnya ibu & ayah terlalu tinggi tempatnya dalam hati ini.

Tapi.. ada juga sekali tu ibu mengadu.


"In.. carilah teman seorang. Tengok macam Z tu. Apa2 hal pakwe dia je yang jemput. Apa2 hal senang dah ada orang yang standby. Takde pun nak harap sangat mak ayah dia.."

Terkejut aku bila ibu cakap mcm tu. Sedih pulak bila dengar ibu kata mcm tu. Nampak jugalah ibu dah jemu & penat berulang alik dari rumah ke seremban.

Serius, memang jauh. Ambil masa 1 jam lebih jugalah. Jelasnya ibu lebih realistik berbanding ayah yang tetap dengan pendiriannya.


"Tulah.. memang In ni salu menyusahkan ibu & ayah kan.. kalau macam tu, cuti pendek In tak payah baliklah.." kataku agak perlahan. Berair juga mata ni. [Aku ni mmg sensitif.. :)]

Dari hujung mataku aku perasan ibu sempat mengerlingku sedikit. Wajahnya jelas berubah.



"Ish.. ada pulak.. bukan tu maksud ibu.. takkan la seorang ibu nak biarkan anak perempuannya keluar berdua mcm tu je dgn lelaki yg tak ada ikatan sah dengannya?
ibu bukannya apa.. In tu dah besar.. Boleh dah kalau nak cari seorang.. kenal hati budi baik2. Kalau asyik dgn ibu ayah je macam mana pula nanti.." ibu cuba memujuk.

Hehe. Sebenarnya aku memang tahu ibu tak serius.. :)

"Entahla bu.. Z, J, F tu semuanya somei2.. Anak ibu ni biasa2 jek bu.. siapalah pulak yang nak.." jelas sekali ini adalah jawapan dari hatiku yang sangat rendah separas bawah tapak kaki keyakinannya ini.

Ibu tersengih.
"Tu ada tu yang dekat tu. In pulak tak nak.." uja ibu.

Aku mula la buat muka.
"In tak suka dia la bu.. kawan je dia tu.." ulasku.

"Habis tu In suka siapa..?" ibu mendugaku.

"...." (^^')


"Orang dah suka tu terima jek la In.. adalah lebih baik kita kahwin dgn orang yg cintakan kita dari kita kahwin dgn orang yang kita cinta tapi dia tak suka kita. Betul2 makan hati jek nanti.." beria2 ibu bercerita.

Tiba2 nenek pun menyambung.

"Betul la tu. Kata ibu tu betul. Dengar nasihat ibu tu. In nak kahwin nanti jangan pilih laki yang dah ada pilihan hati. Jangan mak dia pilih kita, tapi anak dia tu dah ada perempuan lain dlm hati dia. Merana la badan menanggung nanti.

Nak nikah nanti tanya siap2. Kau dah ada orang yang punya ke belum. Kalau baru putus cinta pun tak payah! Eee.. betullah cari nahas kalau hidup dengan laki yang hati dia ada perempuan lain. Nanti dia tak pedulikan kita tahu?" kata nenek pula.

"Tak berbaloi..." sepatah kata ibu lagi.

Aku lihat ayah sempat memandangku dari mejanya. Lidahku tiba-tiba saja kelu. Aku yang suka tergelak ni tiba2 tak boleh nak gelak atau buat2 gelak apabila dengar hujah ibu & nenek.. Hm.. Terlintas persoalan ini di dasar hatiku;

Ibu suruh In cepat2 nikah.. Ibu dah tak sayang In lagi ke? 
Sampai nak beri In pada orang lain? 
:'(

Ada masanya.. fikiranku melayang-layang juga fikirkan hal ni.


"21 bukannya muda lagi In. Bila In nak cari? Dah kerja nanti? Nak kenal hati budi lelaki ni bukan cukup 2-3 bulan sayang oi.. kahwin tu bukannya main pondok2.." ada suatu masa yang lain ibu menegurku.

Baiklah.. sekarang aku teringat pula tentang cerita ustaz syam (ustaz Pengajian Islam Liyana)


"Kak, ustaz adik kata.. memasak, membasuh, kemas rumah semua2 chores tu bukan kerja orang pmpuan. Dia kata, tugas seorang isteri hanyalah melahirkan zuriat & melayan suami je. Ustaz adik kata, selama dia nikah dengan wife dia, dialah yang memasak, membasuh, lipat baju, kemas rumah, semuanya dia yang buat. Wife dia duduk berehat je.. Serius kak! Cara dia cerita tu.. memang romantik... :) :) :)" beria2 senyumnya sampai ke telinga waktu deliver cerita ustaz dia tu.

Ada banyak lagi la yang diceritakan. Sungguh, aku rasa memang beruntung semua wanita kalau bernikah dengan suami yang semacam ustaz adik aku tu. Tapi aku cepat2 mengingatkan dia bahawa jangan terlalu mudah meletakkan harapan pada calon suami jika kita sendiri tidak layak utk dilayan sebegitu baik!

Awal2 lagi aku dah ingatkan diri & berpesan pada yang lain supaya bersikap realistik. Jangan terlalu ghairah membuat list ciri2 yang harus ada pada si dia sedangkan diri sendiri juga masih banyak kekurangannya.

Keajaiban hanya Allah anugerahkan buat mereka yang benar2 istimewa di sisiNya. Maka, hati ni memang harus selalu diingatkan supaya tak lalai dan terkeluar dari landasan yang sepatutnya.. :)


"Kamu liyana.. nak kahwin nak cari lelaki yang macam mana?" [ustaz tu tanya Liyana].
"Mestilah nak lelaki yang baik, soleh, beriman..." jawab adik aku.
"Kenapa ustaz?"

Jawapan yang lelaki itu berikan begitu mendalam bagiku.


"Semua perempuan nak cari lelaki yang baik. Semua lelaki nak cari perempuan yang baik. Carilah.. pasti kamu jumpa. Tapi, untuk memiliknya itu belum tentu sebab selalunya orang yang baik2 ni.. dalam hati dia memang dah ada sukakan seseorang. Cuma perasaan itu dipendamkan dalam hati dengan kesabaran & menjadi rahsianya dengan Allah. Dia takkan nak heboh2.. Tapi, dalam doanya, pasti ada nama yang disebutkan untuk menjadi penemannya untuk ke syurga Allah kelak.."

Dush! Pengsan kejap.

Baiklah.. baiklah..

Ok.. Ok.. 


Tak ada maknalah nak admire dekat ikhwan yang soleh macam nih. =.="

[Sebenarnya dah tak tahu nak kata apa... untuk komen kata-kata beliau itu.]

Hakikatnya, pernikahan itu satu ibadah. Bukan suatu hal main2.. Bukan sekadar menyempurna mimpi. Tapi nikah itu besar tanggungjawabnya.. samada boleh jadi syurga atau neraka, samada jadi pahala atau dosa..

Teringat salah satu firman Allah di dalam Al-Quran..


Kata Allah:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." [Ar-Rum: 21]

Dan Allah berfirman lagi:
"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia." [An-Nur: 26]

Sungguh, inilah janji Allah buat kita semua. Inilah jawapan bagi semua persoalan. Persoalan yang kau persoalkan. Dan juga persoalan yang aku persoalkan. Jawapan Allah tetap sama.


Manalah mungkin dapat kau menggapai Muhammad SAW andai dirimu tak sehebat Siti Khadijah..

Layakkah engkau mendapatkan Ali jika dirimu tak segah empunya Fatimah Az-Zahra..

Rasulullah SAW bersabda:
“Tuhanku mendatangiku dalam tidurku seraya firman kepadaku, “Wahai Muhammad, katakanlah, ‘Ya Allah, aku meminta kepada-Mu cinta-Mu, dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu serta perbuatan yang mengantarkan aku kepada kecintaan-Mu.’” (HR Ibnu Khuzaimah, Ahmad dan Al-Thabrani)"


"Dan Allah menyatukan hati-hati mereka yang beriman dengan cinta..."

Bagi wanita-wanita yang masih bujang, pesanku, pilihlah untuk mencintai Allah & rasulNya dahulu.. serta hargailah pengorbanan ibu & ayah kalian.. Sempurnakan dahulu kisah cintamu dengan mereka sebelum meraih cinta yang lain2..

Pernikahan adalah sekadar salah satu cebisan kecil kehidupan. Jika ia dilaksanakan, sabda Nabi ia umpama sudah menyempurnakan separuh dari agama. Tetapi harus diingat, tujuan utama kehidupan adalah untuk mengutip rahmat & redha Ilahi untuk bertemu Allah di penghujungnya. Itu yang paling utama.


---------------------------------------------------

Ayah yang hanya mendengar ibu & nenek meleteriku waktu itu kemudiannya datang menghampiriku. Waktu itu kami hanya tinggal berdua.

"Ibu cakap macam tu sebab dia risaukan anak-anak dia. Hati ibu in.. memang nak anak-anak dia sentiasa bahagia.. sebab tu dia emosi sikit tadi.

Tapi...

Bila tiba waktunya nanti, jangan pilih orang yang suka kat kita atau jangan pilih orang yang kita sukakan."

Aku pandang wajah ayah.

"Pilihlah agama. Pilih pasangan seperti memilih agama., untuk menyempurnakan agama kita.. InsyaAllah untuk kelangsungan di syurga nanti.. Banyak-banyak berdoa. Mudah2an Allah akan berikan yang terbaik.." 

Wallahu 'alam..

*Diedit semula pada 8 Mei-8.30 mlm.





p/s: Terima kasih ya Allah.. kerana memberi ibu & ayah yang sangat2 menyayangi, memahami, & melindungiku..

Begitu berjela nikmat yang Kau beri buatku, layakkah aku meminta-minta lagi? Sedangkan nikmat yang ada belum sempurna ku syukuri?


Ya Allah... aku malu padaMU..


Walimatul Urus.. :)


"Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."
[Ar-Rum: 6]




Salam warahmatullah..

Entri ini ditulis khas bagi menjemput kalian pengunjung para pencintaMu untuk ke majlis resepsi saudara Mohd Hafiz Kamil bin Dzulkefli pada 30/5/10.

Bagi yang berkesempatan, sudi-sudikanlah datang berkunjung ya.. :)

Walimatul Urus
*~~~~~~~~~~~~~~~~~*

Iftitah kalam semerbak syukur serta memohon rahmat Allah SWT,
saya, penulis para pencintaMu,
mewakili ayahbonda,
En. Dzulkefli bin Aton & Pn. Norma bt Ma'dan.

dengan rendah hati menjemput dan mempersilakan

sahabat-sahabat yang mengenali diri penulis, ayahbonda penulis mahupun pasangan yang diraikan,

bagi meraikan majlis ikatan kasih kekanda kesayangan;

Mohd Hafiz Kamil bin Dzulkefli & Munirah bt Abd Rahim

pada 30 Mei 2010, Ahad
di kediaman ayahbonda:

B 138 Felda Lui Muda,
72120 Bdr Seri Jempol,
Negeri Sembilan.

Rasulullah SAW bersabda :

"Semoga Allah memberkati kamu,
dan memberkati ke atas kamu,
serta mengumpulkan kamu dalam kebaikan"[H.R Ahmad, Abu Daud, Al-Nasaie & Al-Tirmizi]





Oh ya.. di kesempatan ini, saya ingin memperkenalkan kalian dengan permata pertama keluarga kami.

Ini Qurratul Ain binti Mohd Hizan Kamal. Lahir pada 18/1/10. Anak sulung abang saya.




Ini ayah Ain. Abang long saya.



Ini pula ayah Ain & mamanya. Abang saya & kakak ipar saya. Tarikh pernikahan 1/1/09.



Doakan kelancaran semua urusan kami sekeluarga ya.. mudah-mudahan. :)





p/s: Masih teringat2 keletah Ain sewaktu berkunjung ke rumah mertua abang saya semalam. Mudah-mudah besarmu menjadi anak yang solehah dan menjadi mujahidah yang memperjuangkan Islam, insyaAllah!